BANGI, 28 Oktober 2025 – Penerbit UKM telah berjaya menganjurkan Bengkel CapCut 2025 pada 28 Oktober 2025 bertempat di Bilik Pujangga 1, UKMShape, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bengkel sehari itu berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dengan penyertaan seramai 52 orang peserta yang terdiri daripada staf, pelajar UKM serta wakil pelbagai organisasi luar.
Bengkel ini dikendalikan oleh Encik Mohd Jamaludin Abdul Rajalu sebagai penceramah utama dengan dibantu oleh empat orang fasilitator. Program ini memberi fokus kepada kemahiran asas penyuntingan video menggunakan aplikasi CapCut.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta dalam penghasilan video melalui aktiviti memotong, menggabung, dan menyusun klip video serta penggunaan kesan khas, animasi, dan peralihan (transitions) yang terdapat dalam aplikasi CapCut.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Penerbit UKM, Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah, yang turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah, fasilitator, serta pihak UKMShape dan Kelab Multimedia Kolej Tun Hussein Onn, UKM.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasa para peserta dengan ilmu dan kemahiran baharu dalam bidang penyuntingan video.
Penerbit UKM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UKMShape atas kesudian menyediakan tempat dan kemudahan, serta kepada para pelajar dari Kelab Multimedia Kolej Tun Hussein Onn, UKM yang turut menyumbang kepada kelancaran bengkel ini.