BANGI, 11 September 2025 – Penerbit UKM telah berjaya menganjurkan Bengkel Reka Bentuk Grafik dengan AI (2025) pada 10 dan 11 September 2025 bertempat di Bilik Siswazah 19, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bengkel selama dua hari itu berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dengan penyertaan seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada staf, pelajar UKM serta wakil pelbagai organisasi luar.
Bengkel yang dikendalikan oleh Encik Mohd Jamaludin Abdul Rajalu sebagai penceramah utama dengan dibantu fasilitator, Encik Faril Izaldi Salihuddin, memberi fokus kepada kemahiran asas reka bentuk grafik menggunakan aplikasi berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan teknologi AI dalam reka bentuk grafik, selain meningkatkan kreativiti dan produktiviti dalam penghasilan bahan visual yang lebih menarik serta mengikut trend semasa. Peserta turut didedahkan dengan asas penggunaan perisian seperti Adobe Illustrator, Adobe Photoshop, Inkscape dan Krita.
Bengkel ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penglibatan 21 peserta dari UKM dan 19 peserta dari organisasi luar termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Penerbit Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Sapura Industrial Berhad, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Masjid Al-Hasanah Bangi, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Sebagai penghargaan, dua peserta terbaik telah dipilih berdasarkan prestasi sepanjang bengkel. Hadiah disampaikan oleh Pengarah Penerbit UKM, Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah, yang turut merasmikan majlis penutupan bengkel pada 11 September 2025. Semua peserta turut menerima sijil penyertaan.
Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasa peserta dengan ilmu dan kemahiran baharu dalam dunia reka bentuk grafik berasaskan AI, sekali gus membuktikan keperluan program seumpama ini untuk mendepani cabaran era digital.
![]()