Maklumat Proses Permohonan Ijazah Pertama bagi Pelajar ASASIpintar Sesi 2022/2023

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sesi taklimat oleh Unit Pengambilan Pelajar (Prasiswazah), Pusat Pengurusan Akademik UKM telah diadakan pada 25 Januari 2023 yang lalu bertempat di Auditorium GENIUS@Pintar UKM.

Lanjutan daripada sesi taklimat tersebut, adalah dimaklumkan semua permohonan kemasukan ke Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2023/2024 adalah melalui satu saluran iaitu UPUOnline. UPUOnline Fasa 1 akan mula dibuka pada 7 Februari 2023 hingga 28 March 2023. Hebahan oleh pihak BKPA, JPT telah dibuat disemua platform media sosialnya.

Sehubungan itu, pelajar ASASIpintar aliran sains hendaklah memohon melalui UPUOnline dan menyerahkan salinan slip permohonan kepada emel asasipintar@ukm.edu.my (perhatian:sila letakkan tajuk di bahagian subjek emel anda: 2023_Slip Permohonan Ijazah Pertama UPU_nama penuh_4 digit akhir ic anda) dan ianya akan diserahkan kepada bahagian akademik UKM untuk tindakan pemantauan dan penyelarasan selanjutnya.

Pilihan bagi program bertemuduga hanya dibuka pada UPUOnline Fasa 1 dan pelajar akan memohon dengan menggunakan keputusan peperiksaan semester 1. Tiada sekatan bagi permohonan pilihan program berdasarkan keputusan peperiksaan namun pemilihan untuk panggilan temuduga yang dibuat oleh pihak fakulti kelak adalah bergantung kepada keputusan peperiksaan Semester 1 Program ASASIpintar sesi 2022-2023 dan keputusan pihak fakulti untuk memilih calon temuduga mereka.

Bagi pelajar ASASIpintar aliran sains sosial, permohonan boleh dibuat melalui sistem permohonan dalaman UKM di https://lepasanasasi.ukm.my. Pelajar boleh memohon mana-mana program dengan memenuhi syarat khas kemasukan program bagi kursus ijazah pertama yang ditawarkan di UKM, kecuali bagi kursus di Fakulti Pengajian Islam. Panggilan bagi sesi temuduga juga bergantung kepada keputusan peperiksaan Sem 1 Program ASASIpintar sesi 2022-2023 dan keputusan muktamad dari pihak fakulti yang dipohon.

Calon pelajar yang memohon perlu lulus semua syarat khas program fakulti yang dipohon termasuk ujian saringan yang ditetapkan oleh pihak fakulti. Sebarang keputusan tawaran kemasukan kelak adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa fakulti yang dipohon.

Semoga berjaya.

Sekian, terima kasih.