SEJARAH

Menelusuri sejarah UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan dalam membina kecemerlangan sebagai pusat ilmu dan peneraju inovasi demi membentuk masa depan negara.

Ada sejarah yang tidak bermula dengan batu asas, tetapi dengan suara, fikir dan tekad. Gagasan perlunya pendidikan tinggi untuk orang Melayu tercetus seawal 1903 di Mesyuarat Majlis Raja-raja yang Ke 2. DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah telah membangkitkan isu pendidikan dan masa depan orang Melayu. Cetusan gagasan ini menjadi tanda awal kepada satu cita-cita besar yang kelak melakar peta baharu pendidikan negara. 

Beberapa dekad selepas itu, wacana tersebut disambung dan disuburkan oleh para cendekiawan seperti berikut:

i.Za’ba menulis tentang gagasan ini dalam akhbar Lembaga Melayu pada 1917.

ii.Pada 1923 Abdul Kadir Adabi mengemukakan memorandum kepada DYMM Sultan Kelantan. Tindakan ini menggerakkan perdebatan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam institusi pengajian tinggi. 

Namun, cita-cita itu terhenti oleh rintangan dan tekanan yang mengekang perkembangan pemikiran tersebut.

Selepas merdeka, gagasan itu kembali bernafas. Kali ini dengan lebih tersusun dan berani. 

Antara 1957 hingga 1967, semangat juang untuk menubuhkan universiti kebangsaan semakin bersemarak, seiring tuntutan kemerdekaan yang mahu melihat jati diri negara diterjemahkan dalam sistem pendidikan. 

Pelbagai forum budaya dan politik digerakkan bagi menghimpun sokongan kerajaan dan rakyat untuk mewujudkan institusi yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu merentas bidang pengajian dan keilmuan. 

Di sinilah lahir satu kesedaran kolektif iaitu universiti kebangsaan bukan sekadar sebuah kampus, tetapi sebuah projek peradaban. Tempat ilmu berakar pada bahasa, budaya, dan tanggungjawab kepada masyarakat. Gagasan itu akhirnya bergerak daripada wacana kepada tindakan. 

Pada 1968, cendekiawan Melayu membentuk sebuah jawatankuasa penaja untuk merancang penubuhan universiti kebangsaan. 

Jika 1903–1967 ialah era “perjuangan”, maka 1968–1970 ialah era “penubuhan”. Pada 25 Ogos 1968, satu perjumpaan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka yang membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Penaja Penubuhan Universiti Kebangsaan (JPPUK). Langkah ini adalah untuk memindahkan idea daripada wacana kepada pelan penubuhan yang lebih rasmi, tersusun dan terarah. 

Kemuncaknya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada 18 Mei 1970 dan memulakan operasi pertamanya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Permulaan UKM bukanlah bermula dengan angka yang besar, tetapi dengan azam yang besar. Kumpulan pertama pelajar terdiri daripada 192 pelajar prasiswazah dan dua orang pascasiswazah, mendaftar di tiga fakulti perintis: Fakulti Sains, Fakulti Sastera, dan Fakulti Pengajian Islam. Kampus awal ini bersifat “sementara” namun mencerminkan kecekalan organisasi yang sedang membesar. 

Kampus UKM di Jalan Pantai Baru, yang sebelumnya merupakan kampus Maktab Perguruan Persekutuan, menempatkan tiga fakulti perintis pada tarikh penubuhan, dan universiti turut menyewa enam blok rumah pangsa untuk ruang pejabat serta bilik seminar dan tutorial.

Selepas penubuhannya pada tahun 1970, UKM memasuki fasa penting untuk mengukuhkan UKM. Tumpuan diberikan kepada pemantapan struktur akademik, memperluas prasarana kampus, dan membentuk identiti UKM sebagai institusi ilmu yang berteraskan bahasa, budaya dan kepentingan negara. 

Pada 1974, UKM menubuhkan Kampus Sabah di Kebun Kawang, Papar, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses pendidikan tinggi dan memperkukuh peranan universiti di peringkat nasional. Kampus ini kemudiannya melalui beberapa perpindahan, termasuk ke Bukit Padang pada 1980 dan ke Menggatal, Tuaran pada 1990, sebelum ditutup secara rasmi pada 1996 susulan penubuhan Universiti Malaysia Sabah.

Di Semenanjung, pembangunan Kampus Induk Bangi menjadi mercu utama fasa pengukuhan ini. Kampus tersebut mula beroperasi pada 1977 dengan keluasan 1,096.29 hektar, sekali gus menyediakan ruang yang lebih tersusun bagi perkembangan UKM. Pada masa yang sama, UKM turut memperkukuh kehadirannya di Kuala Lumpur melalui kampus di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan kampus Cheras, khususnya bagi bidang perubatan.

Setelah melalui fasa pembinaan asas institusi, UKM melangkah ke tahap yang lebih matang, iaitu fasa pengukuhan menuju kecemerlangan. Dalam tempoh ini, universiti bukan sahaja memperkemas struktur akademik dan pentadbiran yang telah dibina, malah mula menonjol sebagai institusi yang berupaya bersaing melalui kekuatan penyelidikan, kualiti pengurusan, dan keupayaan tadbir urus yang semakin mantap. 

UKM terus membina kekuatan institusi melalui pengiktirafan dan strategi penyelidikan sehingga UKM dipilih sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia pada 2006. Seterusnya menggerakkan strategi penyelidikan berteraskan Cabaran Perdana Malaysia/Global yang merangkumi tujuh bidang tujahan.

Dalam tadbir urus, UKM turut menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006, memperoleh status Swa-Akreditasi pada 2010, dan diberikan status Universiti Autonomi pada Januari 2012 sebagai tanda kematangan institusi dalam mengurus kualiti, piawaian dan amanah akademik.

UKM sebagai universiti kebangsaan semakin menonjol dalam landskap pendidikan tinggi antarabangsa. UKM terus maju kehadapan dengan mencipta sejarah dan mengharumkan nama negara di persada global apabila melonjak ke kedudukan ke-126 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2026. Ini merupakan pencapaian terbaik UKM sejak penyertaan pertamanya dalam penarafan antarabangsa ini pada tahun 2005. Buat pertama kalinya, UKM berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 peratus teratas universiti terbaik dunia, sekali gus menegaskan peranannya sebagai institusi unggul dalam landskap pendidikan tinggi global. 

Peningkatan kedudukan dalam penarafan dunia meletakkan UKM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia dan mengukuhkan UKM sebagai antara peneraju utama pendidikan tinggi negara. Ia mencerminkan hasil transformasi menyeluruh dan berterusan dalam memantapkan mutu pengajaran, penyelidikan, inovasi, serta pengantarabangsaan sejak 1970. Pencapaian cemerlang ini turut dizahirkan menerusi kejayaan 87 penyelidik UKM yang tersenarai dalam ‘2025 World’s Top 2% Scientists’ oleh Elsevier dan Universiti Stanford. Semoga Warga UKM dapat mengekalkan momentum dengan melaksanakan Pelan Strategik TEKAD 57 UKM 2026-2030 ini. 

Garis Masa Perkembangan UKM

1970

Penubuhan rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

1973

Majlis Konvokesyen Pertama UKM diadakan

1974

Penubuhan Kampus UKM Sabah

1977

Perpindahan ke kampus tetap UKM di Bangi bermula

1980

Kampus Sabah dipindahkan ke Bukit Padang, Kota Kinabalu

1982

Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) dibuka

1990

Kampus Sabah dipindahkan ke Menggatal, Tuaran

1994

Penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS)

1997

Kompleks Hospital Pakar UKM(HUKM) siap dibina dan Perasmian rasmi Kompleks Hospital Pakar UKM (HUKM)

2006

UKM dianugerahkan status Universiti Penyelidikan dan UKM menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri

2010

UKM mencapai status Swa-akreditasi

2014

HUKM dinamakan semula kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)

2020

UKM menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya

2021

Pelancaran Pelan Strategik TERAS UKM 2021–2025

2022

Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dimasyhurkan sebagai Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (HOSPITAL TABTAR)

2024

UKM diberi peruntukan khas dalam Bajet 2025 untuk menerajui pemerkasaan AI untuk Bahasa Melayu

2025

UKM lakar lonjakan besar dalam penarafan dunia: #126 dalam QS World University Rankings 2026 dan #53 dalam THE Impact Rankings

Sila gunakan pelayar web terkini untuk paparan terbaik.
Copyright © 2026 Portal Rasmi  Universiti Kebangsaan Malaysia. Hak cipta terpelihara.