Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark Siri 1/2025

Siri pertama Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark berjaya dianjurkan pada 23 Julai 2025, bermula jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Webinar ini menghimpunkan hampir 100 peserta dari pelbagai agensi dan latar belakang. Bertemakan “Pemuliharaan Warisan Tabii dan Budaya”, webinar ini membuka ruang kepada perkongsian pengalaman lapangan serta usaha berterusan dalam memelihara nilai warisan dan memperkukuh peranan komuniti dalam inisiatif pembangunan geopark negara.

Sesi webinar ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah sebagai Moderator dan menampilkan tiga panel jemputan wakil dari kumpulan komuniti iaitu, En. Janes Kansirong (wakil Kinabalu UNESCO Global Geopark), En. Mohd Syukri Jali (wakil Lipis Geopark), dan Puan Siti Najwa Mokhtar (wakil Lembah Kinta Geopark).

Perbincangan webinar ini menekankan pentingnya tanggungjawab bersama komuniti dalam usaha pemuliharaan warisan semula jadi dan budaya di kawasan geopark. Nilai sepunya yang diterapkan di setiap lokasi geopark menjadi asas penggerak kepada pelbagai inisiatif yang bukan sahaja memelihara khazanah warisan, malah memperkasa pembangunan sosioekonomi dan keupayaan masyarakat setempat.

Sambutan yang amat menggalakkan, disertai dengan pelbagai soalan dan interaksi daripada peserta, membuktikan minat dan komitmen tinggi terhadap agenda pemuliharaan dan pembangunan mampan komuniti melalui platform geopark.

Diharapkan siri webinar ini akan diteruskan secara berkala sebagai wadah perkongsian ilmu, pengalaman, dan strategi ke arah memperkukuh pemerkasaan komuniti geopark di Malaysia.

Laporan oleh Puan Wan Daraputri Razali.