Lawatan & Bengkel Pemerkasaan Komuniti Setempat Geopark Gombak-Hulu Langat (Siri 2: SK Dusun Tua, Selangor)

Siri Ke-2 “Bengkel Kesedaran, Pengetahuan dan Pemahaman Komuniti Setempat dalam Pemuliharaan Warisan Tabii dan Budaya Melalui Konsep Geopark Sebagai Peraga Pembangunan Lestari Wilayah” telah dijalankan dengan jayanya pada tanggal 14 Julai 2023, bertempat di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor. Pada sesi kali ini, para penyelidik LESTARI di bawah Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah dijemput oleh pihak pengurusan SK Dusun Tua untuk berkunjung dan melihat sendiri inisiatif-inisiatif geopark yang diterapkan di persekitaran sekolah, selain memberikan penerangan kepada warga pendidik bagi memperkukuh pemahaman  konsep geopark dan memperkasa kesedaran awam berkenaan kepentingan usaha pemuliharaan warisan di sekitar Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp).

Seramai 12 orang guru SK Dusun Tua yang diketuai oleh YBrs. Encik Asman Harun selaku Guru Besar serta seorang wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, iaitu Puan Rozi Hazlina Che Omar telah menyertai bengkel ini, di mana mereka telah diberikan penerangan ringkas oleh Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim dan Prof. Madya Dr. Tanot Unjah berkaitan Projek SKUM UKM 2023 dan dapatan awal Pilot Study yang telah dijalankan di SK Batu Arang sebelum ini. Perbincangan yang berlangsung juga menjurus kepada perancangan pembangunan modul latihan bagi pelajar sekolah rendah berkenaan GHLGp yang dihasratkan oleh projek ini.

Para peserta seterusnya diperlihatkan dengan pelbagai inisiatif geopark yang telah digerakkan oleh barisan guru-guru SK Dusun Tua dalam satu sesi lawatan ke persekitaran sekolah. Antaranya termasuklah projek tapak semaian/tuaian padi; penanaman anggur, sayuran dan ulaman organik; penanaman tumbuhan herba berkhasiat Sacha Inchi (Plukenetia volubilis); dan juga replika air terjun Hulu Langat. Penerangan ringkas berkaitan konsep circular economy yang digunapakai oleh SK Dusun Tua turut disampaikan melalui projek bahan kitar semula yang dikumpulkan oleh para pelajar, yang kemudiannya diproses oleh kilang untuk dijadikan bahan-bahan perabot.

Laporan oleh Nazren Leman.