Sesi Perbincangan Halatuju Projek SKUM 2023 Bersama Guru-Guru Sekolah Rendah Sekitar Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp)

Satu sesi perbincangan Halatuju Projek SKUM 2023 bersama guru-guru daripada 3 buah sekolah rendah di sekitar Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) telah dijalankan dengan jayanya pada tanggal 12 Julai 2023, bertempat di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM. Perbincangan yang bertemakan “Pengukuhan Kesedaran, Pengetahuan dan Pemahaman Komuniti Setempat dalam Pemuliharaan Warisan Tabii dan Budaya Melalui Konsep Geopark Sebagai Peraga Pembangunan Lestari Wilayah” ini merupakan sesi lanjutan daripada Bengkel Pemerkasaan Komuniti Setempat GHLGp (Pilot Study) yang telah diadakan pada 10 Jun 2023 yang lalu di Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Selangor.

Seramai 15 orang peserta telah menyertai sesi perbincangan ini, terdiri daripada wakil guru-guru Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, Sekolah Kebangsaan Batu Arang dan Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2, selain seorang wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat iaitu En. Ahmad Fadli Abd. Aziz. Pembentangan berkaitan GHLGp telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah, manakala Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim pula telah berkongsi dapatan awal Pilot Study yang dijalankan bersama para peserta sewaktu sesi berlangsung. Guru-guru yang hadir turut telah memberikan pelbagai cadangan dan pandangan berkaitan kaedah/input yang bersesuaian khusus bagi sama-sama membangunkan modul geopark untuk pelajar sekolah rendah yang dihasratkan oleh projek di bawah Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) ini.

Para peserta turut mencadangkan agar sebuah bengkel bersama diadakan pada bulan September 2023 selama 2 hari bagi membincangkan hal ehwal pembangunan modul dengan lebih terperinci. Bengkel ini dijangka akan mengumpulkan lebih ramai guru daripada 3 buah sekolah yang terpilih serta beberapa wakil daripada pihak-pihak berkepentingan tempatan bagi menghasilkan modul yang boleh digunapakai dalam sistem pembelajaran sekolah sekitar GHLGp secara langsung atau tidak langsung.

Laporan oleh Nazren Leman