INDUSTRY COMMUNITY & PARTNERSHIPS – FACULTY OF MEDICINE UKM

Prominent Alumni

01

Prominent Alumni

DR. ZALIHA MUSTAFA

Dr. Zaliha Mustafa adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada 3 Disember 2022. Sebelum itu, beliau berpengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau kini dipilih sebagai Ahli Parlimen Sekijang, Johor Bahru selepas kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Dr Zaliha dilahirkan di Johor pada 28 Jun 1964 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Ibrahim (G) School sebelum meneruskan pengajian di sekolah berasrama penuh di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kota Bharu. Pada 1981, beliau memulakan pengajian di Matrikulasi MRSM, Seremban. Setelah itu, Dr. Zaliha meneruskan pengajian di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan berjaya memperolehi Ijazah Doktor Perubatan pada 1989.

Kerjayanya dalam bidang perubatan bermula sebagai doktor siswazah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Dr. Zaliha juga menimba pengalaman sebagai doktor perubatan di Hospital Daerah Pekan pada 1990 dan Hospital Taiping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993. Beliau mendirikan rumah tangga bersama Dr. Ahmad Adzlan dan dikurniakan empat cahaya mata.

Jasa dan ketokohannya mendapat pengiktirafan dari UKM apabila Fakulti Perubatan UKM menganugerahkan Alumni Tersohor kepadanya semasa Majlis Penganugerahan Alumni Tersohor yang diadakan pada 5 Oktober 2023.

02

Prominent Alumni

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau adalah individu yang paling berpengaruh ketika negara menghadapi saat getir dilanda wabak Covid-19. Beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) bermula pada 2008. Pada 1 mac 2013, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan sehingga bersara wajib pada 21 April 2023.

Tokoh ini dilahirkan pada 21 April 1963 di Sepang, Selangor, dalam sebuah keluarga Cina. Nama sebenarnya ialah Yew Ming Seong. Kerjayanya dalam perkhidmatan awam bermula sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988. Beliau menerima Ijazah Doktor Perubatan pada 1988 dan ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri pada 1994 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta memperolehi subkepakaran dalam bidang pembedahan payudara dan endokrin dari Royal Australasian College of Surgeon, Australia pada 1997.

Jasa dan ketokohannya dalam menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara mendapat pengiktirafan dari UKM apabila Fakulti Perubatan menganugerahkan Alumni Tersohor kepadanya semasa Majlis Anugerah Sanjungan Kencana 2020 yang diadakan pada 4 Julai 2020. Selain itu, tokoh ini turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan Dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen UKM ke-48 yang diadakan pada April 2021. Beliau juga menerima pelbagai anugerah antarabangsa dan salah satunya adalah dari Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) International Medal 2021 pada tahun 2022.

03

Prominent Alumni

DATUK DR. ROHAIZAT YON

Nama Datuk Dr Rohaizat Yon tidak perlu diperkenalkan lagi. Tokoh ini akan selama-lamanya dikenang sebagai ‘panglima perang’ atas sumbangan tanpa henti memerangi pandemik Covid-19. Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 25 Mac 2019 sebelum bersara wajib pada 10 Jun 2020.

Datuk Dr. Rohaizat menerima Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1985. Seterusnya, beliau meneruskan pengajian dalam ‘Master of Health Planning’ di University of South Wales, Sydney, Australia pada tahun 1991. Tokoh ini memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kesihatan awam (pengkhususan dalam ekonomi kesihatan dan pembiayaan kesihatan) dari UKM pada 2007.

Kerjaya perubatan beliau bermula sebagai doktor pelatih di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 1985.  Selepas tamat pengajian di Australia pada 1991, beliau ditukarkan ke Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia. Pada 2017, Datuk Dr. Rohaizat dipindahkan ke bahagian perancangan sebagai pengarah perancangan dan berkhidmat selama dua tahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 2019. Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Fasidah Othman dan dikurniakan tiga puteri.

Jasa dan ketokohannya dalam memerangi pandemik Covid-19 yang melanda negara mendapat pengiktirafan dari UKM apabila Fakulti Perubatan menganugerahkan Alumni Tersohor kepada beliau semasa Majlis Anugerah Sanjungan Kencana 2021 yang diadakan pada 8 Julai 2021.

04

Prominent Alumni

PROF. EMERITUS DATO’ DR. LOKMAN SAIM

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Lokman terkenal dengan gelaran “Bapa Implan Koklear” di Malaysia. Beliau telah merintis sejarah dengan mengetuai sekumpulan ahli perubatan profesional dalam satu pembedahan implan koklear pertama di negara ini pada Disember 1995. Kejayaan kepemimpinan dalam pembedahan implan koklear membolehkan kanak-kanak dan orang dewasa yang menghadapi masalah pendengaran berupaya mendengar dan bertutur secara normal.

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Lokman Saim ialah Profesor Otorinolaringologi (Telinga, Hidung dan Tekak) telah berkhidmat di Fakulti Perubatan UKM sejak 1991 sehingga beliau bersara pada 16 Februari 2015. Tokoh ini juga pernah dilantik sebagai Dekan Fakulti Perubatan UKM dari tahun 2003 sehingga 2011. Beliau juga menggalas tugas sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah PPUKM apabila Pejabat Pengarah HUKM dan Pejabat Dekan Fakulti Perubatan digabungkan menjadi satu pusat pengurusan dari tahun 2008 sehingga 2017.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Lokman memperolehi Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1984. Seterusnya, beliau menerima ijazah kepakaran dalam Fellowship of the Royal Colleges of Surgeons dari Royal College of Surgeons, Edinburgh, United Kingdom, pada 1989. Pada 1991, beliau menerima Ijazah Sarjana dari UKM dalam bidang Otorinolaringologi. Kini, beliau menjawat jawatan Naib Canselor di KPJ Healthcare University.

Jasa dan sumbangan beliau mengharumkan nama fakulti serta ketokohannya dalam bidang otorinolaringologi mendapat pengiktirafan dari UKM apabila Fakulti Perubatan menganugerahkan Alumni Tersohor kepada beliau semasa Majlis Anugerah Sanjungan Kencana 2022 yang diadakan pada 21 Julai 2022.

05

Prominent Alumni

PROF. EMERITUS DATO’ DR. MOHAMAD ABD. RAZAK

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak memulakan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2021. Beliau adalah seorang Pakar Bedah Ortopedik terlatih yang memperoleh Ijazah Doktor Perubatan pada 1979 dan Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) pada 1985 dari Fakulti Perubatan UKM.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM dari 2008 hingga 2010 dan sebagai Pengarah Hospital UKM (HUKM), yang kini dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dari 2003 hingga 2007. Semasa berkhidmat sebagai Pengarah HCTM, beliau telah mewujudkan Skim Latihan Kepakaran dan meningkatkan khidmat doktor pakar di hospital tersebut. Usaha ini melayakkan HCTM menerima Asian Hospital Management Award pada tahun 2005.

Kredibiliti pengurusan dan kepakaran beliau turut diiktiraf oleh pelbagai pihak dengan pelantikan sebagai Naib Canselor Cyberjaya University College of Medical Sciences (kini ialah University of Cyberjaya) pada 2014. Ketokohannya dalam bidang ortopedik juga telah melayakkan beliau menerima Fellowship of Japanese Orthopedic Association in Spinal Injury dan Senior ASEAN Orthopedic Travelling Fellow pada tahun 1997. Selain memegang jawatan Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia dari 1996 hingga 1998, beliau juga pernah berkhidmat sebagai pendaftar pelawat di Jabatan Ortopedik Universiti Edinburgh, dan pendaftar dan Felo Klinikal dalam Kecederaan Tulang Belakang di Southport Spinal Injuries Centre di Liverpool, Britain.