Pada 21 Mei 2025, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Hari Penyelidikan dan Inovasi (HAPI) 2025 bersempena sambutan 25 tahun penubuhan FST. Program yang diadakan di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM Bangi ini merupakan sebahagian daripada Festival of Ideas FST dan telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, UKM. Taman Botani Bangi (TBB) turut serta dalam program ini dengan menghantar tiga penyertaan inovasi. Projek Ferti-Go: Sistem Mini Fertigasi telah memenangi pingat emas, manakala EroPlant-SIMr:Inovasi Simulator Intensiti Mikrohujan untuk Penilaian Keberkesanan Tumbuhan dalam Pendekatan Bio-kejuruteraan Cerun dan Se-soap: Sabun Organik Berasaskan Senduduk Bulu masing-masing meraih pingat gangsa. Di samping itu, TBB juga membuka booth jualan yang mempamerkan dan menjual pelbagai produk termasuk sayur, sambal dan anak pokok. Penyertaan ini bukan sahaja menyerlahkan daya cipta dan inovasi TBB dalam bidang pertanian dan produk semula jadi, malah mengukuhkan peranan TBB dalam menyumbang kepada penyelidikan, pembangunan mampan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.



