Program Semai Cinta Alam @ SKBL Berjaya Menyemai Kesedaran Alam Sekitar
Program Semai Cinta Alam @ SKBL telah berjaya dianjurkan pada 20 Februari 2025 dengan penuh semangat di Sekolah Kebangsaan Batu Laut (SKBL) hari ini. Program ini merupakan insiatif Taman Botani Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia (TBB, UKM) dengan kerjasama pihak Sekolah Kebangsaan Batu Laut dan Kumpulan Pegawai Penyelidik Fakulti Sains & Teknologi (FST), UKM. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para pelajar sekolah rendah terhadap kepentingan menjaga alam sekitar serta menarik minat pelajar terhadap bidang sains dan biodiversiti. Acara ini disertai oleh pelajar berusia 10 hingga 12 tahun iaitu seramai 202 orang telah menunjukkan keaktifan dan keterujaan sepanjang program berlangsung. Program dimulakan dengan sesi perkongsian bertajuk “Semai Cinta Alam dan Jom Jadi Saintis”, diikuti oleh sesi “Santai Alam” dan juga aktiviti selingan iaitu EcoQuiz yang mana para pelajar diberikan soalan-soalan yang berkaitan dengan sains. Dengan sambutan yang menggalakkan, diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan generasi muda terus diberi pendedahan dan motivasi untuk menjadi pemelihara alam sekitar yang bertanggungjawab.