Lawatan Sambil Belajar Pelajar Latihan Industri Pusat Penyelidikan Langkawi ke Kilim Karst Geoforest Park

Anjuran: Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad

Tarikh: 23 Ogos 2019

Tempat: Jeti Pelancongan Sungai Kilim, Langkawi, Kedah.

Satu lawatan sambil belajar anjuran Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad telah diadakan pada 23 Ogos 2019 yang lalu. Lawatan sambil belajar ini bertujuan mendedahkan para pelajar yang mengikuti latihan industri (LI) di Langkawi kepada produk eko-pelancongan Pulau Langkawi yang tersohor iaitu lawatan hutan bakau (mangrove tour) di Kilim Karst Geoforest Park. Lawatan selama 2 jam menaiki bot menyurusi Sungai Kilim ini melewati beberapa tempat menarik yang terdapat di sepanjang laluan termasuklah Gua Kelawar, Melihat Helang, Lapisan Merah (Batu Kawi) dan Pinakel Batu Kapur. En. Othman Ayeb, selaku pemandu pelancong bertauliah yang mengiringi lawatan ini memberikan penerangan lengkap di setiap tempat yang dilawati. Justeru, sangat membantu pemahaman para pelajar dan peserta yang mengikuti lawatan sambil belajar ini berkenaan kawasan eko-pelancongan Kilim Karst Geoforest Park tersebut. Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) amat berterima kasih terutamanya kepada En. Imran Ismail, Pengurus Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad kerana telah memberi peluang kepada para pelajar LI di PPL untuk turut serta mengikuti lawatan ini.

En. Othman Ayeb, selaku pemandu pemancong bertauliah memberikan penerangan dan taklimat berkenaan perjalanan lawatan sambil belajar di Kilim Karst Geoforest Park.

 

Laporan oleh Asbiyatulaida binti Derahman.