Sejarah

Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia mempunyai sejarah yang istimewa sebagai peneraju dan pengasas kepada bidang Psikologi di Malaysia. Pada awal kewujudannya pada tahun 1970, bidang Psikologi berada di bawah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penubuhan awal program Psikologi ini dibantu oleh beberapa pensyarah dari Amerika Syarikat dan juga Indonesia.

ppppm-lama

Pada tahun 1974, program Psikologi boleh berbangga dengan terhasilnya graduan pertama dalam bidang Psikologi. Ramai dari graduan pertama ini berjaya dalam bidang masing-masing dan menyertai perkhidmatan awam dan swasta. Malah, tidak kurang juga graduan yang kembali ke universiti sebagai pensyarah dan kakitangan universiti. Impian untuk mewujudkan jabatan sendiri menjadi kenyataan apabila pada tahun 1977 Jabatan Psikologi ditubuhkan. Penubuhan ini sejajar dengan perkembangan bidang psikologi pada waktu itu yang semakin berkembang dan mendapat perhatian.

ppppm-lama1

Seawal penubuhan Jabatan Psikologi ini, ia telah pun selangkah kehadapan berbanding program-program lain pada waktu itu dalam menghasilkan modal insan pasca siswazah dengan menawarkan program Sarjana Falsafah dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi. Pada tahun 2001, menyaksikan sekali lagi perubahan berlaku apabila UKM melakukan penstrukturan semula fakulti-fakulti. Perubahan bersejarah ini menyaksikan penggabungan Jabatan Psikologi dengan Fakulti Pembangunan Manusia dan terhasillah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia (PPPPM) sepertimana sekarang. Selepas beberapa dekad beroperasi, PPPPM berbangga dengan lahir ramainya graduan Psikologi dalam pelbagai bidang dan kepakaran.