Latar Belakang

PENGENALAN

Sejarah Pusat Sukan bermula 1 November 1974 dimana seorang pegawai sukan, Unit Sukan secara pinjaman dari kementerian pendidikan ditempatkan di Jabatan Hal-Ehwal Pelajar dan bertanggungjawab terhadap aktiviti sukan pelajar dan staf UKM. Pada tahun 1976, Unit Sukan mempunyai seorang kerani, seorang penyelenggara stor dan 5 pekerja am. Pada tahun 1981 dan 1982, UKM telah menghantar pelajar dan pegawai ke Sukan Universiti Asean pertama di Chiangmai dan yang kedua di Jakarta. Seterusnya pada tahun 1984, UKM telah diberi penghormatan sebagai sekretariat dan perkampungan Sukan Universiti Asean ketiga.

Seterusnya pada tahun 1984, seorang Pengarah Sukan yang juga selaku pensyarah Fakulti Pendidikan telah dilantik untuk merancang dan melaksana program sukan. Bermula dari itu, Unit Sukan telah mengalami beberapa penstrukturan organisasi bagi bergerak seiring dengan keperluan semasa. Pada tahun 2008, Unit Sukan telah dinaiktaraf kepada sebuah Pusat dan Pusat Sukan mula mengorak langkah sebagai sebuah Pusat yang berkembang pesat dan kini mempunyai seramai 42 orang kakitangan.