Sila hubungi: +603 89214641

Projek

PROJEK 1: PEMBENTUKAN TEORI DAN KONSEP KESEPADUAN SOSIAL MELALUI PENDIDIKAN

Pembentukan  Teori Dan Konsep Kesepaduan Sosial Melalui Pendidikan

 

Ringkasan Cadangan Eksekutif Penyelidikan

Fokus projek adalah sistem pendidikan Malaysia, dan persoalan utama, adakah pendidikan Malaysia memberi ruang dan perhatian kepada kepelbagaian kependudukan Malaysia, khususnya dalam konteks wilayah (Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak), pengkategorian etnik (Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dsb.), penganutan agama (Muslim, Kristian, Buddhist, Hindu dsb.), latarbelakang sejarah (sejarah migrasi, pribumi)? Projek ini berhujah bahawa sistem pendidikan Malaysia berasaskan ideologi modenisasi, dan dipandu oleh dua konsep asas iaitu pembinaan bangsa (nation building) dan penyamaan (homogenisation). Dalam masyarakat plural seperti Malaysia, idea mengenai pembinaan bangsa melalui prinsip penyamaan mungkin menyekat pencapaian matlamat akhir yang diingini, iaitu sebuah negara-bangsa yang mempunyai warganegara yang mendokong wawasan, impian dan gerak kerja yang sama sebagai ‘Malaysian’. Realiti sosial kependudukan Malaysia adalah kepelbagaian, justeru  saling perhubungan dan kesanggupan hidup bersama secara saksama dan aman dengan orang lain amat penting. Keadaan hidup harmoni atas asas saling kepercayaan, rasa keterpunyaan dan penyertaan saksama membolehkan masyarakat hidup bersepadu dan aman. Sistem pendidikan yang mengangkat ketergolongan (inclusion) dan penyertaan semua warganegara akan menyediakan bahan-bahan asas ke arah pemupukan kesepaduan sosial, yang mencerminkan saling persefahaman, penghormatan dan perhubungan yang tinggi dalam kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai latarbelakang. Kepelbagaian penduduk Malaysia menuntut agar sistem pendidikan menyediakan peluang kepada pelajar mempelajari dan mengetahui komuniti-komuniti yang ada di Malaysia.

Namun, pendidikan sebegini bukan sekadar memberi maklumat atau menambah pengetahuan pelajar tentang komuniti-komuniti di Malaysia. Pendidikan juga perlu melibatkan pemupukan kefahaman dan kebersediaan menghormati, menerima dan hidup bersama komuniti-komuniti berkenaan. Pendek kata, pendidikan di Malaysia perlu melibatkan dimensi ‘pembudayaan pemupukan nilai-nilai murni’ (culturalisation of noble values) terhadap kepelbagaian kependudukan yang ada di Malaysia khususnya. Hasil daripada sistem pendidikan ‘inklusif’ begini adalah pelajar yang berpengetahuan-budaya (culturally-informed students), iaitu pelajar yang dapat mengenali, memahami, berhubung dan hidup bersama berasaskan nilai kebolehterimaan (acceptance), kebolehpercayaan (mutual trust), kebersepunyaan (common belonging). Justeru, projek ini mengusul bahawa di samping komponen 3R dalam pendidikan (membaca, menulis, mengira), satu komponen lagi yang sepadan dan sepenting, iaitu 1R (hubungan)  perlu juga dimuatkan dalam pendidikan. Intipatinya, projek ini melangkah ke depan dengan mengusul pembentukan satu matriks, iaitu yang merangkumi 3R (baca, tulis, kira), 1R (hubungan) dan 3r (mengenal, menghormati dan menyesuaikan).Usulan ini mengambil kira sifat kependudukan dan realiti sosial masyarakat Malaysia dan wawasan membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dalam mana semua rakyatnya mendokong dan menghayati impian dan katahati yang sepunya, meskipun berlainan (Wawasan 2020, Cabaran 1). Dalam konteks ini, sastera dan pendidikan sastera juga merupakan satu komponen penting dalam projek ini, di mana sastera dan pendidikan sastera dilihat sebagai satu wahana penting untuk mengkaji realiti masyarakat Malaysia dan pembinaan bangsa Malaysia. Sastera dan pendidikan sastera juga dianggap satu sumber penting untuk memupuk pemahaman dan membina hubungan antara rakyat Malaysia yang berlainan etnik, agama, status dan kelas sosial, tempat tinggal, sejarah dan pengalaman bermastautin.

Sebagai manusia sosial, terutamanya dalam negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik, pelajar-pelajar sekolah perlu belajar untuk bergaul dan berhubung dengan orang yang berbeza dengan mereka dari segi budaya, bahasa, agama dsb. Bagaimana mereka belajar untuk menyesuaikan diri dengan kepelbagaian dan kelainan ini? Pendidikan sepatutnya membuka minda pelajar kepada pelbagai kemungkinan, dan bukan sekadar melatih minda pelajar kepada hanya melakukan satu perkara sahaja (Gunn 2010). Sekiranya sebagai manusia sosial, pelajar-pelajar ini tidak dapat menerima kepelbagaian dan kelainan, bagaimanakah mereka bergaul dan berhubung dengan orang lain secara saksama dan atas pemahaman sepunya? Apakah kerelevanan dan keberkesanan sistem pendidikan sekiranya pendidikan yang diberikan tidak dapat menyediakan asas-asas kukuh untuk melatih pelajar mengenai empat tiang pendidikan – belajar mengetahui, belajar membuat, belajar menjadi dan belajar untuk hidup bersama? Untuk menjelaskan kepentingan sistem pendidikan mencerminkan sifat kependudukan sesebuah negara, kita lihat contoh berikut: Sebuah syarikat ubat gigi ingin memasarkan produk ubat gigi yang digelar ‘pemutih gigi’. Namun, pasaran yang disasarkan adalah komuniti yang meletak nilai tinggi kepada ‘gigi hitam’ dan bukan ‘gigi putih’. Akibatnya, ubat gigi yang berdaya memutihkan gigi tidak laris dijual dalam kalangan komuniti tersebut, menyebabkan syarikat ubat gigi tersebut mengalami kerugian besar. Gejala ini berlaku semata-mata kerana kejahilan atau ‘buta-budaya’kakitangan syarikatnya.

Keadaan sekolah dan sistem persekolahan juga seperti suatu ‘usaha perniagaan.’ Siapakah pasaran, iaitu siapakah pelajar yang datang ke sekolah? Apakah agama, etnik, budaya, latarbelakang sosio-ekonomi mereka? Sebagai manusia, lebih-lebih lagi sebagai pendidik yang bertanggungjawab menurunkan nilai, ilmu dan kemahiran kepada pelajar, pembuat dasar dan pembuat keputusan di Kementerian Pelajaran, Pengetua sekolah dan guru mempunyai daya pemikiran untuk menjangka kesan-kesan jangka panjang tindakan mereka. Dalam konteks kesepaduan, keamanan antar-etnik dan persefahaman antar-budaya, kegagalan untuk mengambil kira kepelbagaian kependudukan negara, dan penyisihan sebahagian kependudukan daripada sejarah negara, kurikulum dan buku teks sekolah, akan menyebabkan gambaran realiti negara yang berat sebelah, justeru kejahilan dan ketidakpuasan. Sekolah sebagai institusi pendidikan boleh menjadi tempat memupuk hormat dan rasa tanggungjawab untuk kesejahteraan orang lain. Sekiranya kita tidak mahu orang lain mencederakan kita, begitu juga kita tidak boleh mencederakan orang lain. Adakah sekolah dan sistem pendidikan Malaysia memberi ruang kepada pesertanya – pelajar, guru, Pengetua – untuk belajar dan memahami satu sama lain? Untuk mereka berasa mereka sebahagian daripada satu ‘komuniti?’

Keupayaan pendidikan untuk memenuhi peranan-peranan tersebut bergantung kepada sama ada guru-guru ada mencipta dan menyampaikan kandungan pendidikan dalam cara yang menepati keperluan semasa dan masa depan (OECD 2001: 3)? Adakah guru sekolah peka terhadap peranan utama mereka dalam sistem pendidikan? Adakah peranan sistem pendidikan untuk melahirkan tenaga buruh mahir yang hanya tahu 3R? Atau pendidikan adalah untuk melahirkan manusia bijaksana dan baik hati, yang telah menguasai empat tiang pembelajaran iaitu belajar mengetahui, belajar membuat, belajar menjadi dan belajar hidup bersama orang lain? Intipatinya, adakah sistem pendidikan untuk melahirkan manusia yang mahir dalam 3R (baca, tulis, kira), mahir dalam 1R (hubungan) atau 3R (Read, wRite, aRithmetic) + 1R (Relationship), dan 3r (recognise, respect, reconcile [kenal, hormat, menyesuaikan]).

Projek ini bertujuan untuk membentuk konsep 1R yang mendasari kesepaduan sosial. Kesepaduan sosial merangkumi dua dimensi. Dimensi pertama dilihat dari segi kesepaduan menegak, iaitu hubungan antara pihak berkuasa dan orang awam. Dimensi kedua dilihat dari segi kesepaduan mendatar, iaitu hubungan antara dalam kalangan anggota masyarakat. Hubungan menegak dan mendatar dicirikan dengan satu set sikap dan norma seperti kepercayaan, rasa kesepunyaan dan kesanggupan menyertai dan membantu, serta ungkapan perlakuan (Chan & Chan 2006, 290). Projek ini juga memberi penelitian kepada kurikulum pendidikan negara dari segi dimensi ketergolongan (inclusiveness) atau kesepaduan (cohesiveness) dalam mengambil kira kepelbagaian kependudukan Malaysia. Dalam konteks ini, peranan pendidikan sastera dan karya-karya sastera juga diberi tumpuan khas dalam projek ini, khususnya dari segi peranan sastera dan pendidikan sastera dalam mencerminkan ciri-ciri bangsa Malaysia (Malaysian nation).

Objektif Penyelidikan

  1. untuk mengkaji sama ada kurikulum pendidikan negara mengambil kira kepelbagaian kependudukan Malaysia
  2. untuk mengkaji kefahaman pelajar Malaysia mengenai komuniti-komuniti yang ada di Malaysia
  3. untuk mengkaji bagaimana realiti masyarakat Malaysia dan bangsa Malaysia dipersembahkan melalui karya-karya sastera (yang ditulis dalam Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris)
  4. untuk mengkaji sama ada karya-karya sastera yang ditulis dalam Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris mendokong hasrat pembinaan negara-bangsa melalui pemahaman dan hubungan antar-etnik atau sebaliknya
  5. untuk membina satu modul pembelajaran interaktif 1R + 3r yang akan mempunyai komponen 1R (celik budaya) dan komponen 3r (recognise, respect, reconcile / kenal, hormat dan menyesuaikan)

 

 

 

 

 

Kembali

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Incoming search terms:

  • konsep kesepaduan sosial
  • peranan ikon sukan dalam memupuk kesepaduan sosial di malaysia
  • peranan ikon sukan dalam memupuk kesepaduan sosial
  • peranan ikon sukan dalam kesepaduan sosial
  • yhs-fullyhosted_003
  • konsep kesepaduan
  • ciri-ciri kesepaduan sosial
  • maksud kesepaduan
Teruskan membaca

PROJEK 2: GOVERNANS UNTUK KESEPADUAN SOSIAL

Governans Untuk Kesepaduan Sosial

Ringkasan Cadangan Eksekutif Penyelidikan

Isu governans yang  meliputi aspek perundangan, urustadbir dan kebertanggungjawaban sektor swasta memainkan peranan penting dalam pembinaan negara-bangsa dan lebih penting lagi dalam mengurus dan mentadbir sosial strata masyarakat. Andaian yang di buat bahawa undang-undang sebagai peraturan yang mengatur perjalanan negara, urus tadbir yang menepati nilai-nilai murni seperti integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan sokongan sektor swasta pula akan dapat membantu untuk menguruskan kemapanan (sustainability) kesepaduan sosial yang kita kecapi selama ini.

Andaian ini akan dkaji melalui empat teras penting yang menyokong system governan bagi menghasilkan kesepaduan sosial. Empat teras penting yang akan diteliti dalam projek ini ialah;

  1. Kesesuaian sistem persekutuan berteraskan Perlembagaan Malaysia sebagai instrumen untuk menjaga kesepaduan sosial dalam menangani cabaran pelbagai kaum dalam Malaysia;
  2. Kemampuan sistem perundangan sedia ada untuk memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat berbilang kaum di Malaysia;
  3. Keupayaan Pelan Integriti Nasional untuk mewujudkan budaya integriti dalam masyarakat sebagai teras penting penyatuan dalam konteks kesepaduan sosial; dan
  4. Sumbangan sektor swasta untuk membantu pengukuhan kesepaduan sosial bertunjangkan teras governans dan perundangan sedia ada.

Tiap-tiap teras dalam projek ini bertujuan untuk meneliti kembali bagaimana tiga sistem perundangan di Malaysia, iaitu undang-undang Sivil, Undang-undang Syariah dan Undang-undang Adat  dapat diintegrasikan sebaik mungkin dan beberapa persoalan-persoalan yang timbul daripada tafsiran perlembagaan dapat dicari jalan tengah. Projek ini akan juga meneliti konsep asas dan norma yang wujud dalam masyarakat, untuk mengukur samada strukur federalisme yang diterapkan oleh perlembagaan negara sesuai serta masih relevan, dan samada sistem perundangan tinggalan British di Malaysia masih relevan untuk membina Negara bangsa. Kerancakan pertumbuhan kegiatan perbankan, perniagaan dan kewangan Islam menimbulkan keperluan untuk memperbaiki dan membuat modifikasi  kepada Common Law bagi memenuhi kehendak dan perubahan nilai masyarakat. Sektor swasta yang merupakan pemangkin utama ekonomi Negara mempunyai sumbangan yang tidak kurang penting, oleh itu projek ini melihat bagaimana sektor ini dapat berfungsi di bawah governans sedia ada dan mendukung usaha kerajaan untuk menjaga serta membantu kearah memperkukuhkan kesepaduan sosial dengan mempertingkat kualiti hidup rakyat dan membentuk masyarakat berpendapatan tinggi selaras nilai kebangsaan. Kajian ini amat penting untuk meneliti dan menjelaskan bagaimana governans dapat membantu kemapanan kesepaduan sosial. Objektif utama penyelidikan ini ialah untuk:

  1. Mengenal pasti cabaran-cabaran terkini yang dihadapi dalam sistem Federalisme, sistem perundangan, budaya integriti dan sumbangan sektor swasta dalam membina kesepaduan sosial.
  2. Meneliti kelemahan sedia ada dalam sistem Federalisme, sistem perundangan, budaya integriti dan sumbangan sektor swasta dalam membina kesepaduan sosial

Seperti yang kita sedia maklum, isu governans sering dilihat daripada sudut perundangan, urus tadbir dan kebertanggungjawaban pelbagai sektor masyarakat. Governans memainkan peranan penting dalam pembinaan negara-bangsa dan lebih penting lagi dalam mengurus dan mentadbir sosial strata masyarakat.

Hipotesis:

i)     Sistem persekutuan yang diterapkan oleh Perlembagaan sesuai dengan sistem persekutuan pesekitaran negara;

ii)    Sistem perundangan sedia ada mampu menyokong kesepaduan sosial;

iii)   Urus tadbir yang menepati nilai-nilai murni seperti integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban dapat menyokong kesepaduan sosial;

iv)   Sektor swasta dapat membantu untuk menguruskan kemapanan (sustainability) kesepaduan sosial melalui teras governans dan perundangan sedia ada.

Objektif Penyelidikan

  1. Mengenalpasti Kesesuaian sistem persekutuan berteraskan Perlembagaan Malaysia sebagai instrument untuk menjaga kesepaduan sosial dalam menangani cabaran pelbagai kaum dalam Malaysia;
  2. Meneliti Kemampuan sistem perundangan sedia ada untuk memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat berbilang kaum di Malaysia;
  3. Meneliti keupayaan Pelan Integriti Nasional dapat untuk mewujudkan budaya integriti dalam masyarakat sebagai teras penting penyatuan dalam konteks kesepaduan sosial; dan

Mengenal pasti sumbangan sektor swasta dalam membantu pengukuhan kesepaduan sosial bertunjangkan governans dan perundangan sedia ada.

Kajian ini bertujuan mengekalkan dan menjamin keseinambungan kesepaduan sosial di Malaysia.

 

 

 

 

 

Kembali

 

 

 

 

 

Incoming search terms:

  • kesepaduan sosial di malaysia
Teruskan membaca

PROJEK 3: MENGENALPASTI POLA PRILAKU HUBUNGAN ETNIK

Mengenalpasti Pola Prilaku Hubungan Etnik

Ringkasan Cadangan Eksekutif Penyelidikan

Kajian hubungan etnik perlu memulakan kajiannya dengan mengkaji masyarakat, kategori dan dimensi sosial yang terdiri dari etnik, budaya, agama, wilayah, kekeluargaan, kelas, status sosial dan lain-lain. Hanya dengan mengambilkira dimensi etnik dalam perhubungan sosial barulah kita boleh mengenalpasti pola hubungan etnik yang terdapat di Malaysia. Ini bermakna hubungan sosial seseorang itu boleh bersifat etnik and boleh bersifat sosial. Walaupun hubungan individu dari dua etnik yang berbeza sering kali ditakrifkan sebagai etnik tetapi hubungan mereka ini tidak semestinya etnik jika dimensi yang menyebabkan mereka berhubungan adalah sosial seperti kelas, status sosial, hubung sosial seperti jiran, kawan sekerja dan lain-lain. Ini boleh berlaku kerana etnik sebagai pengaruh ke atas tingkah laku manusia mungkin berperanan sebagai akibat atau juga sebagai akibat. Untuk mengenalpasti faktor yang akan pengaruhi hubungan etnik itu, kajian di tempat kerja dan pengawasan tahap hubungan etnik di dalam masyarakat akan dijalankan. Ini penting untuk memastikan adakah hubungan etnik di Malaysia berbentuk etnik yang tebal hingga melahirkan hubungan yang diwarnai oleh salah faham, ketegangan dan konflik atau lebih berbentuk kesepaduan sosial di mana di sebalik perbezaan etnik itu, rakyat pelbagai etnik telah memperakui dan menerima perbezaan etnik yang ada di antara mereka dan telah berkongsi norma hidup tentang kestabilan, kemajuan, keamanan dan kesejahteraan hidup sesama mereka hingga perbezaan itu menjadi perkiraan peribadi dan mereka bertemu dalam ruang sosial berdasar kepentingan bersama yang telah diarusperdanakan.

Objektif Penyelidikan

Kajian ini dijalankan berdasar tujuan penyelidikan berikut:

  1. Mengenalpasti pola dan intensiti hubungan etnik di Malaysia
  2. Menganalisis pengaruh ke atas hubungan etnik di Malaysia
  3. Mencari jalan untuk mengatasi atau mengukuh bentuk dan intensiti hubungan etnik diperhatikan itu
  4. Mencadangkan strategi dan program untuk meningkatkan kesepaduan sosial di kalangan rakyat pelbagai etnik demi membina negara bangsa 1Malaysia

 

 

 

 

 

 

Kembali

 

 

 

 

 

 

 

Incoming search terms:

  • kesepaduan sosial hubungan etnik
  • pola konflik dalam hubungan etnik
  • apakah maksud pola konflik dalam hubungan etnik
Teruskan membaca

PROJEK 4: CABARAN POLITIK DAN AGAMA DALAM KESEPADUAN SOSIAL

 

Cabaran Politik Dan Agama Dalam Kesepaduan Sosial

Ringkasan Cadangan Eksekutif Penyelidikan

Dalam membentuk serta mengekalkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan sejahtera, pemimpin negara pada hari ini menyeru kepada semua masyarakat agar memahami konsep ‘wasatiyyahnisme atau moderatisme’. Wasatiyyah adalah tunggak dalam tradisi Islam yang menekankan konsep ‘kesederhanaan’ dan juga ‘keadilan’ dalam setiap aspek kehidupan. Konsep ini menuntut kita untuk menjadi umat yang baik yang sederhana dan adil dalam semua tindak tanduknya. Masyarakat yang lahir daripada konsep ini merupakan masyarakat yang progresif kerana ia memahami dan menghormati hak-hak orang lain. Ia juga sebenarnya adalah selari dengan tuntutan semua agama yang lain yang akhirnya akan membawa kepada suatu natijah positif iaitu pemencilan dan peminggiran sifat ekstremisme. Berlatarbelakangkan konsep wasatiyyah ini, kajian ini melihat ada keperluan untuk menilai semula cara kita mengkaji isu politik dan agama yang biasa dilakukan secara tradisi. Lensa baru yang ingin kita gunakan dalam menilai hal-hal politik dan agama adalah melalui lensa wasatiyyah, prejudis dan stereotaip.

Malaysia pada hari ini dilihat sebagai sebuah ‘negara contoh’ yang mempraktikkan ‘Islam yang sederhana’ (moderate Islam). Dalam hal ini, Malaysia telah dicatatkan sebagai ‘negara contoh’ yang memahami kedudukannya sendiri dari aspek budaya dan politik serta mampu membuat keputusan meskipun terdapat tekanan yang kuat daripada luar dan dalam.  Hakikatnya, keupayaan Malaysia untuk membangun dan berkembang maju dalam keadaan masyarakatnya yang berbilang kaum, agama dan budaya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.

Disinilah kajian ini melihat kepentingan untuk mengkaji tentang wasatiyyah, prejudis dan stereotaip dalam masyarakat sebagai sumbangan penting agar hal-hal yang biasanya menjadi pertikaian dalam politik dan agama dapat dihindarkan. Tanpa memahami prejudis dan stereotaip yang wujud dalam masyarakat, sudah tentu menjadi sukar untuk kita membentuk sebuah masyarakat yang moderat. Inilah yang dikatakan sebagai suatu proses yang penting dalam membina, mempertahan dan mengekal wasatiyyah dan moderatisme agar kesepaduan sosial yang dinikmati di Malaysia berlanjutan.

Salah satu cabaran utama, khususnya, pada peringkat akar umbi dalam usaha ke arah membina wasatiyyah dan moderatisme sekali gus kesepaduan sosial di Malaysia adalah ‘politik bertikam lidah’ antara para pemimpin politik daripada parti-parti politik berasaskan etnik yang sering menyuarakan kenyataan bersifat streotaip dan prejudis mengenai sesuatu kelompok etnik yang menggugat persepsi umum mengenai kesepaduan sosial yang wujud. Oleh itu, amat penting untuk diteliti dengan mendalam mengenai politik berasaskan stereotaip dan prejudis, khususnya, asalmula, sifat dan bentuk-bentuk khusus serta impak jangka pajang dan jangka pendeknya. Kajian saintifik mengenai fenomena stereotaip dan prejudis di Malaysia adalah terlalu sedikit justru perlu dilaksanakan dengan teliti lagi serius dengan menggunakan pendekatan psikologi sosial, antropologi, sains politik dan sosiologi.

Oleh itu, keseluruhan penyelidikan ini akan memberi fokus kepada dua teras penting. Pertama, melihat daripada sudut politik, terutama dalam memahami aspek prejudis dan stereotaip dalam masyarakat dan kedua melihat daripada sudut agama yang dilihat melalui pengukuhan konsep wasatiyyah.

 

Objektif Penyelidikan

 Dua objektif utama penyelidikan ini:

i)         Mengenal pasti cabaran-cabaran terkini (daripada dalam dan luar) yang dihadapi oleh Malaysia yang boleh mengugat dasar kesederhanaan tersebut dan pada masa yang sama mengukuhkan kefahaman terhadap konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang agama.

ii)        Mengenal pasti sejauh mana masyarakat pelbagai kaum di Malaysia menaruh sifat perjudis dan stereotaip terhadap satu sama lain.

 

 

 

 

 

Kembali

 

 

 

Incoming search terms:

  • cabaran politik di malaysia
  • cabaran politik
Teruskan membaca