Sastera Melayu Bentuk Identiti Bangsa – Muhammad Aqil

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Disember 2023 – Muhammad Aqil Shahrullizam memandang sastera sebagai sebahagian daripada warisan budaya yang membentuk identiti sebuah bangsa.

Sebagai graduan Persuratan Melayu dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, beliau berpendapat bahawa jika sebuah bangsa maju tanpa mengekalkan tamadun dan warisan budaya, maka bangsa tersebut akan kehilangan identitinya.

“Namun, apabila ia maju seiring dengan tamadunnya dengan memelihara kesusasteraannya maka, bangsa tersebut akan bangkit lebih gah sebagaimana zaman kesultanan Melayu dahulu,” kata Muhammad Aqil yang juga merupakan penerima Anugerah Naib Canselor pada Konvokesyen kali ke-51.

Beliau mewarisi minat dalam bidang sastera dari ayahnya yang suka berkarya.

“Ayah lebih tertarik kepada nyanyian, memahami dan menterjemahkan bait-bait lagu itu ke dalam pemikirannya sendiri.

“Dari situ saya nampak sastera boleh dikembangkan bukan melalui penulisan sahaja tetapi pemikiran yang kreatif dan kritis.

“Sebagai contoh, ketika menghasilkan pantun, kita perlu memikirkan dua baris pembayang yang boleh menggambarkan makna yang terkandung di dalamnya untuk memberi kesan mendalam kepada pembaca,” katanya.

Beliau akan meneruskan pelajarannya ke peringkat sarjana untuk mengkaji kebudayaan masyarakat orang asli di Lenggong, dengan tujuan mendokumentasikan dan melestarikan warisan budaya dan amalan orang Asli agar tidak dilupakan.

Muhammad Aqil juga pernah menjalani latihan industri di Harian Metro sebagai wartawan dan penerbit.

Walaupun tiada latar belakang dalam penulisan berita, beliau berusaha untuk mengaplikasikan unsur-unsur sastera dalam setiap artikel yang ditulisnya.

“Dalam konteks sastera, bidang ini kurang mendapat perhatian dalam peluang pekerjaan.

“Jadi saya cuba untuk menukar haluan dan membawa sastera dengan cara berbeza iaitu dengan penulisan berita,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi tentang cabaran besar dalam hidupnya, terutama sekali mengenai kesihatan ayahnya yang menderita kanser tulang belakang.

Demi menjaga ayahnya yang uzur, beliau mengorbankan setahun waktu pengajiannya di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Beliau percaya bahawa menjaga orang tua adalah satu tugas yang tidak sia-sia dan rezekinya hari ini adalah hasil daripada berkat doa kedua ibu bapanya.

Leave a Reply