AKTIVITI 2025
KEJAYAAN LULUS DALAM PEPERIKSAAN LISAN SARJANA SAINS PERUBATAN JABATAN FISIOLOGI
Jabatan Fisiologi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada:
Nurul Iffah Isa
di atas kejayaan lulus dalam Peperiksaan Lisan Sarjana Sains Perubatan Jabatan Fisiologi.
Pelajar di bawah seliaan :
Dr Adila A. Hamid, (Penyelia Utama)
Prof Madya Dr Azizah Ugusman,(Penyelia Bersama)
Semoga terus cemerlang.
KEJAYAAN LULUS DALAM PEPERIKSAAN LISAN SARJANA SAINS PERUBATAN JABATAN FISIOLOGI
10 November 2025
Jabatan Fisiologi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada:
Amanina Athirah Mad Azli
di atas kejayaan lulus dalam Peperiksaan Lisan Sarjana Sains Perubatan Jabatan Fisiologi.
Pelajar di bawah seliaan :
Prof Madya Dr Azizah, (Penyelia Utama)
Prof Madya Dr Mohd Helmy Mokhtar,(Penyelia Bersama)
Prof Madya Dr Amilia Aminuddin, (Penyelia Bersama)
Dr Adila A. Hamid (Penyelia Bersama)
KEJAYAAN LULUS DALAM PEPERIKSAAN LISAN SARJANA SAINS PERUBATAN JABATAN FISIOLOGI
29 Oktober 2025
Jabatan Fisiologi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada:
Sivasatyan Vijay
di atas kejayaan lulus dalam Peperiksaan Lisan Sarjana Sains Perubatan Jabatan Fisiologi.
Pelajar adalah dibawah seliaan:
1) Dr. Farah Hanan Fathihah Jaffar (Penyelia Utama)
2) Prof Madya Dr Siti Fatimah Ibrahim (Penyelia Bersama)
3) Prof Madya Dr Khairul Osman (Penyelia Bersama)
BENGKEL KECEMERLANGAN DAN HALA TUJU JABATAN FISIOLOGI 2025
4 – 5 Oktober 2025
Bengkel Kecemerlangan dan Hala Tuju Jabatan Fisiologi 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 4 dan 5 Oktober 2025 bertempat di Hotel Grand Lexis, Port Dickson.
Bengkel ini menghimpunkan seluruh warga Jabatan Fisiologi bagi memperkukuh hala tuju strategik jabatan dalam menghadapi cabaran dan peluang tahun 2026.
Program ini turut menjadi medan refleksi terhadap pencapaian tahun-tahun sebelumnya, di samping membuka ruang bagi perkongsian idea baharu, serta perancangan dan penambahbaikan aktiviti jabatan yang lebih tersusun dan efektif.
Dengan semangat baharu yang dipupuk sepanjang bengkel ini, Jabatan Fisiologi bertekad untuk terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah jabatan yang unggul, berdaya saing dan terus relevan dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan dan penyelidikan masa kini.
KURSUS INTENSIF FISIOLOGI 2025
23 – 25 September 2025
Kursus Intensif Fisiologi 2025 anjuran Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah berlangsung dengan jayanya secara dalam talian pada 23–25 September 2025.
Program tahunan ini bertujuan memperkukuh kefahaman para peserta dalam bidang fisiologi serta membantu mereka membuat persediaan rapi menghadapi peperiksaan yang akan datang.
Seramai 120 orang peserta, yang majoritinya terdiri daripada pelajar program Doktor Pakar Surgeri, Otorinolaringologi, serta Perubatan Kecemasan, telah mengambil bahagian dalam kursus ini. Program ini turut menampilkan tenaga pengajar berpengalaman dan aktiviti pembelajaran interaktif bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penceramah, fasilitator, urusetia, dan peserta atas komitmen, kerjasama serta dedikasi yang telah menjayakan program ini.
Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh menjadi manfaat serta menyumbang kepada kecemerlangan akademik dan profesional para peserta.
MAJLIS ANUGERAH BITARA UKM KE-10
9 September 2025
Majlis Anugerah BITARA UKM Ke-10 telah berlangsung pada 9 September 2025 bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia. Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, Anugerah BITARA menjadi acara tahunan berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan, inovasi serta sumbangan berimpak tinggi oleh staf dan jabatan dalam pelbagai bidang, demi kelestarian universiti dan kesejahteraan masyarakat.
Pada majlis kali ini, Jabatan Fisiologi telah menerima Anugerah Bitara Rekayasa Prasarana (Kumpulan). Pengiktirafan ini diberikan atas kecemerlangan jabatan dalam menyediakan serta menambah baik sistem sokongan yang melancarkan pengurusan dan mewujudkan persekitaran ilmu yang kondusif.
Kejayaan ini merupakan kemenangan kali kedua, selepas pencapaian sulung pada tahun 2022. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh warga Jabatan Fisiologi atas pencapaian gemilang ini.
PROGRAM KEMBARA SAINS 2025
13 Ogos 2025
Jabatan Fisiologi telah menganjurkan Program Kembara Sains 2025 dengan kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, khususnya untuk pelajar Tingkatan 1 sekolah tersebut. Program ini diadakan di Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM pada 8.45 pagi hingga 1.00 petang.
ANUGERAH SANJUNGAN KENCANA KE-6 FAKULTI PERUBATAN UKM 2025
24 Julai 2025
Tahniah diucapkan kepada Pejabat Jabatan Fisiologi yang telah memenangi Anugerah Tempat Kerja Selamat (Kategori Pejabat), Dr Farah Hanan Fathihah Jaffar atas penerimaan Anugerah Pengajar Muda Cemerlang (Pra Klinikal) dan Puan Aini Farzana Zulkefli, Bendahari Program Kembara Sains (bersama pelajar SMK Bandar Tun Razak, Cheras WPKL) atas penerimaan Anugerah Keterlibatan Komuniti (Kakitangan Bukan Akademik) di Anugerah Sanjungan Kencana Ke-6 yang telah berlangsung pada 24 Julai 2025 di Zenith Hotel Putrajaya.
PROGRAM PASSION FOR STEM 2.0 GOT STEM4 ALL KARNIVAL STEM DAN STEM OUTREACH DAERAH GOMBAK TAHUN 2025
24 Julai 2025
PERTANDINGAN MALAYSIAN BRAIN BEE CHALLENGE (MBBC) PERINGKAT ZON G
23 Jun 2025
Kami di Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berasa amat bertuah kerana berpeluang menganjurkan Pertandingan Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) Peringkat Zon G pada 23 Jun 2025, bertempat di Fakulti Perubatan UKM.
Hari tersebut amat menginspirasikan dengan kehadiran lima pelajar cemerlang dari SMK Jalan Bukit, Selangor; SMK Jalan Empat, Selangor; dan Kolej PERMATA Pintar Negara UKM, yang masing-masing telah menunjukkan minat mendalam dan semangat luar biasa terhadap bidang neurosains. Keupayaan mereka menjawab soalan-soalan yang mencabar dengan yakin serta keinginan tinggi untuk meneroka bidang ini amat membanggakan dan memberikan harapan cerah untuk masa depan neurosains negara.
Penganjuran acara bermakna ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan dan dedikasi para pendidik yang komited, iaitu Puan Fairus Adlidna, Puan Nik Nurhayati, dan Puan Sumathy, yang telah mengiringi serta membimbing para pelajar sepanjang perjalanan mereka. Sokongan moral, bimbingan akademik, dan dorongan berterusan daripada para guru inilah yang menjadi asas kepada kecemerlangan pelajar.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini, termasuk ahli jawatankuasa di belakang tabir yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program ini.
Semoga usaha murni ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak peluang dan kolaborasi dalam memperkasa pendidikan neurosains di peringkat sekolah. Kami menantikan kejayaan para pelajar ini dalam bidang neurosains dan seterusnya — moga ada antara mereka yang bakal menjadi pakar otak negara pada masa akan datang!
MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA FAKULTI PERUBATAN UKM DAN SOLACE ASIA SDN BHD
20 Jun 2025
Satu detik bersejarah telah tercipta dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Solace Asia Sdn Bhd. Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkukuh usaha bersama dalam bidang penyelidikan, pengajaran, serta penglibatan awam dan komuniti dalam bidang ketagihan.
MoU ini telah dicetuskan oleh Profesor Madya Dr. Jayakumar Murthy dari Jabatan Fisiologi, dengan kerjasama Profesor Adjung Dr. Prem Kumar Shanmugam dari Solace Asia. Majlis menandatangani MoU ini turut diserikan dengan kehadiran Dekan Fakulti Perubatan, Profesor Datin Dr. Marina Mat Baki, yang memberikan sokongan penuh terhadap komitmen fakulti dalam menangani isu ketagihan sebagai salah satu cabaran kesihatan awam yang utama.
Kerjasama ini menandakan satu langkah penting ke arah menjalin kecemerlangan akademik dan kepakaran klinikal demi mempromosikan amalan berasaskan bukti serta penglibatan komuniti yang berimpak tinggi dalam sains ketagihan.
BENGKEL REAL-TIME PCR
11 Jun 2025
Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan UKM dengan kerjasama syarikat Impaco PLT telah menganjurkan Bengkel Real-Time PCR.
Bengkel ini bertujuan untuk menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar dan kakitangan Jabatan untuk mempelajari cara kerja pengekstrakan asid ribonukleik (RNA) dan Real-Time PCR serta kemahiran menganalisa data bagi ujian tersebut.
Peserta turut berpeluang berinteraksi bersama pakar industri iaitu Encik Edmund Lein, Pengurus Jualan Teknikal (Genomik).
BENGKEL UNLOCKING THE GENOME: NEXT-GEN SEQUENCING & GUT MICROBIOTA DATA ANALYSIS MASTERY
30 April 2025
Program ini melibatkan pelajar pascasiswazah Jabatan Fisiologi bersama penceramah jemputan Prof. Madya Ts. Dr.
Hajar Fauzan Bin Ahmad yang merupakan pensyarah dari Universiti Malaysia Pahang. Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada pelajar jabatan berkaitan bidang Gut Microbiota dan cara menguasai teknik analisis dengan lebih terperinci.
LAWATAN DARIPADA SYARIKAT GLYNESS INDUSTRIES
21 April 2025
Jabatan Fisiologi telah menerima satu lawatan daripada Syarikat Glyness MY yang diketuai oleh Chief Technology Officer, Dr. Chua Kien Hui dan diiringi oleh wakil syarikat serta rakan–rakan usahasamanya dari Negara China. Kesemua pelawat telah dibawa ke Makmal Penyelidikan, Tingkat 9, Jabatan Fisiologi pada 21 April 2025 (Isnin) jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
Lawatan ini tercetus daripada minat syarikat dari Negara China dalam hasil penyelidikan berkaitan sarang burung walit yang telah dijalankan oleh pelajar siswazah Jabatan Fisiologi. Lawatan dan perbincangan daripada lawatan ini tertumpu kepada potensi kerjasama dan tajaan penyelidikan yang boleh dijalankan di Malaysia dan Negara China.
MAJLIS JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI JABATAN FISIOLOGI
10 April 2025
Majlis berlansung di Sinaps Jabatan Fisiologi yang dihadiri oleh kakitangan dan pelajar pascasiswazah Jabatan Fisiologi.
Antara tetamu-tetamu yang hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Fisiologi terdiri daripada YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki (Dekan Fakulti Perubatan), Timbalan-timbalan Dekan, Penolong-penolong Dekan dan Ketua Jabatan Praklinikal.
PROGRAM MINI SISWAZAH SIMPOSIUM 3.0
13 dan 19 April 2025
Jabatan Fisiologi telah berjaya menganjurkan Program Mini Siswazah Simposium 3.0 yang diadakan pada 13 Mac dan 19 Mac 2025 secara atas talian. Program ini melibatkan pelajar pascasiswazah Jabatan Fisiologi bertujuan untuk para pelajar berkongsi penemuan penyelidikan mereka di peringkat jabatan.
Di dalam program ini, para pensyarah turut terlibat dalam menilai dan memberi cadangan penambahbaikan bagi pembentangan pelajar.
MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN ANTARA UKM DAN B-CROBES LABORATORY SDN. BHD
25 Februari 2025
Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah dengan termeterainya Perjanjian Penyelidikan bersama B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd.. Kerjasama ini menandakan satu langkah besar dalam memperkukuh penyelidikan saintifik dan inovasi kesihatan demi manfaat masyarakat serta kemajuan bidang perubatan.
Majlis menandatangani perjanjian ini telah dihadiri oleh Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) yang mewakili Dekan Fakulti Perubatan, UKM; Prof. Lee Heng Yee, Pengarah Eksekutif B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd.; serta Dr. Kaley Onn, Pengarah Perubatan B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd. Turut hadir adalah barisan ahli pengurusan Fakulti Perubatan UKM dan pegawai kanan dari kedua-dua organisasi, yang sama-sama menyaksikan detik bersejarah ini.
LAWATAN DARIPADA SOLACE ASIA, DAN LES TOISES – CENTRE DE PSYCHIATRIE ET PSYCHOTHÉRAPIE (SWITZERLAND)
4 Februari 2025
Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan UKM telah mengadakan perbincangan kerjasama antara Kumpulan Addiction Research UKM bersama pihak Solace Asia, dan Les Toises – Centre de Psychiatrie et Psychothérapie (Switzerland).
Perjumpaan bersama Prof. Prem Kumar Shanmugam (CEO, Solace Asia) dan Dr. Franziska Gamma (Ketua Pengarah, Les Toises) telah membincangkan mengenai potensi kerjasama bagi projek berkaitan ketagihan pada masa hadapan.