Pelancaran Perkhidmatan Solar UKM

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Hj. Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi, diiringi oleh Prof Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM telah melancarkan Perkhidmatan Solar UKM di Majlis Lawatan Kerja ke Universiti Kebangsaan Malaysia.


Pusat Pengurusan Penjanaan UKM (JANA@UKM) telah bekerjasama dengan Syarikat PV Hi Tech Solar Sdn. Bhd. untuk menguruskan Projek RFP Perkhidmatan Solar UKM yang bernilai RM24 juta untuk menjana tenaga hijau daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui sebanyak 7MWac.


Panel solar yang dijangka dapat digunakan untuk tempoh 25 tahun akan dipasang pada lebih 50 bumbung bangunan di kampus UKM Bangi. Anggaran penjimatan yang akan diperolehi daripada pemasangan solar ini akan melibatkan penjimatan bil elektrik sekurang-kurangnya 16% bagi setiap kwh yang digunakan.


Di samping itu bil elektrik juga dapat dijimatkan melalui pengurangan jumlah caj bagi kehendak maksima kerana pemasangan solar juga dijangka dapat mengurangkan kehendak maksima sebanyak 20%.


UKM turut menerima manfaat lain dari projek ini sepanjang tempoh kerjasama yang merangkumi cat coating bumbung serta penjimatan kos penyelenggaraan kebocoran bumbung, latihan kakitangan, sewaan Bilik Operasi Solar dan perkongsian data dengan penyelidik UKM dalam bidang tenaga solar serta bidang lain yang berkenaan.