Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) UKM – Cambrian Engineering Corporation Pte Ltd Singapura

20 Oktober 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Fakulti Sains dan Teknologi (FST), telah secara rasminya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat dari Singapura, Cambrian Engineering Corporation Pte. Ltd., bagi memperkukuh jalinan kerjasama antara universiti dan industri.

Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh Dekan FST UKM, Prof. Ts. Dr. Faizal bin Mohamed, dan Pengarah Urusan Cambrian Engineering Corporation, Dr. Danny Oh; dan disaksikan oleh Timbalan Dekan (HEJIM) FST UKM, Prof. Ts. ChM. Dr. Rizafizah Othaman, serta Pengarah Cambrian Engineering Corporation, Ms. Tan Lay Teen.

Turut hadir ialah barisan kepimpinan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar (JSBAS) FST UKM, termasuk Pengerusi JSBAS, PM P.Geol. Dr. Habibah Hj. Jamil; Timbalan Pengerusi JSBAS, Dr. Nurul ‘Ain Ab Jalil; Penyelaras MoU UKM – Cambrian Engineering Corporation Pte. Ltd., PM P.Geol. Dr. Ts. Mohd. Hariri Arifin; Ketua Program Geologi, Dr. Mohd Basril Iswadi Basori; serta barisan ahli akademik dan pegawai. Delegasi Cambrian Engineering Corporation turut disertai Pengarah Bersama Cambrian Engineering Corporation, Ms. Pui Tau Shien.

Antara fokus utama kolaborasi ini adalah perundingan, penyelidikan dan inovasi dalam bidang geofizik, kejuruteraan serta tenaga geoterma. Kerjasama ini dijangka terus memacu pembangunan bakat graduan Program Geologi UKM menerusi peluang latihan industri, sangkutan pensyarah, penerbitan ilmiah dan pendedahan kepada kepakaran industri. Dr. Danny Oh turut memaklumkan dalam majlis ini bahawa seramai tiga orang graduan Program Geologi UKM kini sedang berkhidmat bersama Cambrian Engineering Corporation. 

Semoga kerjasama merentas sempadan ini terus menyemarakkan semangat inovasi saintifik, memacu tenaga mampan dan membuka lebih banyak peluang keemasan buat generasi akan datang.