Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Professor Madya Nik Safiah Nik Ismail merupakan pengasas bagi bidang kejururawatan diĀ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menjadi ketua Jabatan Kejururawatan yang sulung. Dilantik pada 1 September 1996 sehingga 22 April 2004 yang merupakan tarikh persaraannya. Beliau menerajui pembangunan 3 program kejururawatan iaitu Diploma dalam bidang kejururawatan (1996), Diploma lanjutan dalam bidang kebidanan (2000) dan Ijazah sarjana muda kejururawatan dengan kepujian (2001). Sebelumnya beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pendidikan Perubatan berdasarkan kepakarannya dalam bidang kejururawatan, pendidikan, pembelajaran jarak jauh serta sistem penyelidikan kesihatan. Beliau juga pernah dilantik menjadi perunding bagi 4 organisasi utama iaitu WHO (Western Samoa, 1989 selama 3 bulan), Commonwealth of learning (Vancouver, 1992 selama 8 bulan), IDRC (Ghana, Africa 1995 selama 3 minggu) dan Petronas (Kuala Lumpur healthcare centre dari 2002-2004). Beliau merupakan ahli panel jawatankuasa penilaian dalam bidang kejururawatan untuk Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dari sejak tahun 1998. Beliau dilantik menjadi pengerusi pertama Jemaah Kejururawatan IPTA pada tahun 2002 oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan.