Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

DOKTOR FALSAFAH

 

Calon akan mengikuti pengajian Doktor Falsafah berdasarkan makluman berikut:

  1. Jenis pengajian dan tempoh mengikut Peraturan UKM (Pengajian Siswazah) 2015:
  • Sepenuh masa ialah tiga (3) tahun dan tempoh maksimum adalah enam (6) tahun.
  • Separuh masa ialah empat (4) tahun dan tempoh maksimum adalah tujuh (7) tahun.

2.Kaedah penyampaian:

  • Kuliah dan e-Pembelajaran
  • Pembentangan cadangan disertasi
  • Seminar/Kolokium/Bengkel
  • Tesis

3. Kaedah pengendalian program:

Calon akan diselia oleh pensyarah dalam bidang pengkhususan tertentu untuk menyediakan proposal, menjalankan penyelidikan, membentangkan hasil, menerbitkan hasil dalam jurnal terindeks, menulis tesis dan menjalankan ujian viva.

Kemajuan calon akan dipantau dan dilaporkan oleh penyelia dalam sistem Laporan Kemajuan Calon sebelum calon dibenarkan untuk mendaftar bagi semester yang seterusnya.

 

Calon diselia untuk menjalankan aktiviti berkaitan penyelidikan seperti kajian perpustakaan, merekabentuk dan menjalankan eskperimen, mengumpul dan menganalisa data, membincang hasil kajian, menulis tesis dan jurnal serta membentang di seminar dan konferens sains perubatan atau saintifik.

Calon dikehendaki mengikuti Kursus Kaedah Penyelidikan (Kod Kursus FK8124) yang dianjurkan oleh pihak Fakulti Perubatan UKM dalam usaha untuk mempelajari kaedah menjalankan penyelidikan.

Calon perlu membentangkan proposal di Jabatan masing-masing untuk penilaian oleh Penyelia. Proposal tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada Jawatankuasa Etika Penyelidikan dan Jawatankuasa Etika Haiwan (jika berkenaan) untuk mendapatkan kelulusan sebelum akhir semester pertama. Pemantauan dilakukan oleh penyelia dan laporan kemajuan calon disediakan pada akhir setiap semester.

Calon dikehendaki menghantar tesis serta menduduki Peperiksaan Lisan DAN membentang satu (1) kertas kerja di persidangan dan sekurang-kurangnya dua (2) Artikel Berindeks Jurnal WoS telah diterbitkan atau telah diterima untuk penerbitan

 

Syarat-syarat umum kemasukan yang berkaitan (berdasarkan kepada Peraturan Siswazah 2015):

  • Ijazah Sarjana dari Universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat; atau
  • Kelayakan lain yang setaraf dengan Ijazah atau mempunyai kelayakan lain dengan pengalaman yang diiktiraf oleh Senat; atau
  • Calon yang sedang mengikuti program Sarjana Sains Perubatan mod penyelidikan secara sepenuh masa di Universiti dan diperakukan oleh Jawatankuasa Pengajian Siswazah Fakulti / Pusat Siswazah untuk menukar status kepada program Ijazah Kedoktoran dengan kelulusan Dekan Fakulti.
 

Syarat-syarat kemasukan khusus Fakulti Perubatan:

  • Bagi pelajar luar negara, pemohon perlu membuktikan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dengan memperoleh sekurang-kurangnya skor TOEFL 550 atau IELTS 6.5 atau peperiksaan Bahasa Inggeris yang diterima oleh Senat UKM;
  • Calon yang sedang mengikuti program Sarjana mod penyelidikan secara sepenuh masa di Universiti dan diperakukan oleh Jawatankuasa Pengajian Siswazah Fakulti / Pusat Siswazah untuk menukar status kepada program Ijazah Kedoktoran dengan kelulusan Dekan Fakulti;
  • Ijazah Sarjana Muda Kelas Kepujian Pertama atau bersamaan dengan titik Gred Kumulatif Purata (PNGK) tidak kurang daripada 3.67 dari Universiti Kebangsaan Malaysia atau universiti lain yang diiktiraf oleh Senat;
  • Calon yang telah berdaftar untuk Ijazah Sarjana Sains Perubatan boleh menukarkan pendaftaran ke Ijazah Doktor Falsafah berdasarkan pencapaian dan syarat yang diiktiraf oleh senat;
  • Surat sokongan kewangan pemohon mestilah disertakan (i.e. Affidavit penaja atau surat pengesahan penjamin). Pemohon antarabangsa dan semua pemohon yang dibiayai sendiri perlu menyertakan surat pengesahan kemampuan pembiayaan, jaminan kewangan dari bank atau institusi kewangan yang sah;
  • Memenuhi syarat-syarat lain yang ditentukan oleh UKM dari semasa ke semasa.

PN. NOOR WAHIDAH MOHD NASRI

Penyelaras Program Sarjana/ Doktor Falsafah Mod Penyelidikan

Email: idanasri@ppukm.ukm.edu.my

No Telefon: +603 9145 6252