Syarahan Perdana Profesor – Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid, 10 Februari 2026

Pada 10 Februari 2026 (Selasa), Institut Kajian Etnik (KITA) telah menganjurkan satu Majlis Syarahan Perdana Profesor di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM Kampus Bangi. Syarahan Perdana Profesor tersebut telah disampaikan oleh Felo Penyelidik Utama KITA Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid dengan tajuk ‘Dasar Awam dan Kesejahteraan Masyarakat: Kefahaman Dalam Menghadapi Masa Depan’.

Dalam syarahan tersebut, beliau menghuraikan peranan dasar awam sebagai teras institusional yang membentuk kesejahteraan masyarakat, merangkumi dimensi sosial, ekonomi dan politik dalam konteks pembangunan negara. Selain itu, beliau turut menelusuri evolusi dasar awam daripada era pentadbiran awam klasik dan warisan kolonial sehinggalah kepada pendekatan governans masa kini yang menekankan keterangkuman, akauntabiliti dan kemampanan.

Menurut Prof. Dr. Kartini, dasar awam bukan sekadar rangka peraturan, malah menjadi rujukan utama yang menghubungkan visi negara dengan keperluan rakyat dalam mendepani cabaran semasa seperti ketidakstabilan global, jurang digital, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi. Antara lain yang disentuh dalam syarahan ini adalah keperluan ketahanan, adaptasi teknologi serta pengukuhan nilai, etika dan peradaban adalah asas penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat yang berterusan.

Majlis Syarahan Perdana Profesor tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor serta pengurusan tertinggi universiti; Pengarah Pengasas KITA, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, warga KITA dan ahli keluarga Prof. Dr. Kartini.

Nota: Aktiviti ini menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dari aspek SDG4 dan SDG17.

Galeri foto: klik di sini (Facebook KITA)

Rakaman video: klik di sini (Facebook UKM)