Pertemuan strategik bersama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM, 28 September 2026

Pada 28 September 2026, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM telah mengadakan pertemuan strategik bersama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bagi membincangkan perkembangan kerjasama berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan, khususnya melibatkan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (APTNJ).

Pertemuan ini melibatkan Dekan FEP, Prof. Dr. Mohd. Azlan Shah Zaidi, Timbalan Dekan Siswazah, Dr. Ahmad Raflis Che Omar, serta Penyelaras Program Sarjana Pentadbiran Awam dan Kepimpinan (SPeAK), En. Ishak Abd. Rahman. KITA pula diwakili oleh Pengarah Pengasas KITA, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Timbalan Pengarah KITA, Dr. Zaini Othman, Ketua Jaminan Kualiti KITA, Dr. Atiqah Tang Abdullah dan Penyelaras Program Siswazah KITA, Dr. Shazlin Amir Hamzah.

Dalam pertemuan tersebut, pihak FEP memaklumkan bahawa seramai 19 pegawai APTNJ telah mendaftar untuk mengikuti pengajian sarjana di FEP, yang dilihat sebagai perkembangan positif dalam memperkukuh kerjasama antara FEP dan KITA. Seiring dengan perkembangan ini, kedua-dua pihak turut membuka ruang kepada para pelajar untuk mendapatkan penyelia daripada KITA atau FEP tertakluk kepada kesesuaian bidang pengajian dan kepakaran.

Kerjasama ini berpotensi menjadi asas kepada penerokaan penawaran program pembangunan profesional dan pengajian siswazah yang lebih meluas, termasuk kepada pegawai perkhidmatan awam dari negeri-negeri lain pada masa akan datang. Inisiatif ini selaras dengan komitmen UKM dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi yang bersifat interdisiplinari serta menyokong pembangunan kapasiti dan kepimpinan sektor awam di peringkat negeri.

Nota: Aktiviti ini menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dari aspek SDG4 dan SDG17.