- This event has passed.
Kolokium Siswazah KITA (Draf Akhir): Hanim Ismail

Nama Pelajar: Hanim Ismail (P63210)
Program: Doktor Falsafah (Pengajian Etnik)
Penyelia: Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid
Tahap Pembentangan: Draf Akhir
Tajuk:
DASAR PANDANG KE TIMUR: ACUAN KE ARAH PERUBAHAN STRUKTUR DAN BUDAYA
Abstrak:
Dasar Pandang ke Timur telah diperkenalkan pada tahun 1981 oleh Tun Mahathir. Beliau telah mengubah pandangan dari Barat ke Timur kerana beliau melihat kemajuan dan kejayaan Jepun di dalam bidang ekonomi perlu dicontohi dan diteladani bagi memajukan negara Malaysia. Bagi menerapkan budaya kerja Jepun kepada rakyat Malaysia, beliau memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur dengan melaksanakan perubahan struktur dan budaya. Dasar Pandang ke Timur yang bersifat ‘open-ended’ terus dilaksanakan biarpun telah berlaku perubahan kepimpinan Perdana Menteri bermula tahun 2003 iaitu Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri kelima dan Perdana Menteri keenam, Najib Razak. Ketika pemerintahan dua Perdana Menteri ini, dasar ini tidak menjadi keutamaan di dalam pentadbiran mereka. Kini, setelah Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri yang Ketujuh, dasar ini sekali lagi diangkat menjadi dasar yang utama dan perubahan untuk memperkukuh dan memperkasakan dasar ini telah dibuat dengan memberi tumpuan kepada bidang-bidang yang menjadi keutamaan pada masa kini. Oleh itu, tesis ini bertujuan untuk membuat penilaian ke atas dasar yang masih dilaksanakan dengan menggunakan Teori kitaran Dasar di dalam disiplin ilmu Analisis Dasar Awam. Tesis ini menjalankan penyelidikan kualitatif dengan menggunakan kaedah temubual intensif ke atas tiga belas orang responden yang terlibat secara langsung dengan perlaksanaan Dasar Pandang ke Timur. Hasil daripada temubual telah dikelaskan mengikut tema yang dibentuk dan dipaparkan melalui jadual. Selain temubual, tesis ini turut menggunakan kaedah kajian perpustakaan bagi mendapatkan data sekunder. Kajian ini telah menemui bahawa terdapat lapan pandangan terhadap orang Jepun iaitu menepati masa, budaya memberi penghargaan dan imbuhan, bersifat tegas dan telus, menjaga kebersihan diri, keluarga dan masyarakat, taat setia kepada majikan dan syarikat, berdisiplin, jujur dan telus serta mementingkan kualiti dan produktiviti. Kajian ini turut menemui kelemahan di dalam penilaian dasar melalui Teori Kitaran Dasar kerana melalui teori ini, penilaian terhadap dasar yang telah dilaksanakan hanya bersifat dalaman iaitu menilai kejayaan, keberkesanan dan kekangan yang timbul bagi Malaysia sahaja sedangkan dasar ini turut melibatkan kerjasama dan penglibatan negara Jepun secara langsung. Dasar ini juga hanya menumpukan bidang seperti kejuruteraan dan sains & teknologi sehingga mengabaikan bidang sains sosial yang mempunyai kemahiran di dalam sains tingkahlaku dan sosiobudaya yang mana bidang ini perlu diutamakan apabila kerajaan berhasrat untuk mengubah paradigma dan budaya masyarakat. Kajian ini berupaya memberi sumbangan di dalam aspek penilaian Dasar Awam dengan memperkenalkan indikator baru di dalam perlaksanaan penilaian dasar.