Majlis Penyerahan Surat Penghargaan dan Tahniah serta Sesi Libat Urus Bersama Penyandang Kursi UNESCO, 18 September 2026

Pada 18 September 2026, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Surat Penghargaan dan Tahniah serta Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Kursi UNESCO bertempat di Putrajaya. Kursi UNESCO-UKM telah diwakili oleh Pengarah Pengasas KITA Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin selaku Penyandang Kursi UNESCO dalam bidang Praktis Sosial dalam Komunikasi Antara Budaya dan Kesepaduan Sosial, dan Felo Penyelidik KITA Dr. Nurul Akqmie Badrul Hisham selaku Pengurus Kursi UNESCO-UKM.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia merangkap Presiden SKUM, YB Fadhlina Sidek, adalah bertujuan menghargai pencapaian Kursi UNESCO di Malaysia serta memperkukuh kerjasama strategik yang memberi impak positif kepada masyarakat. Dalam sesi tersebut, para penyandang Kursi UNESCO turut membentangkan fokus utama serta pencapaian dan sumbangan impak sosial yang telah dilaksanakan oleh Kursi UNESCO masing-masing.

Pihak Institut Kajian Etnik (KITA), UKM khususnya pihak Kursi UNESCO-UKM mengucapkan ribuan terima kasih kepada SKUM dan Kementerian Pendidikan Malaysia atas pengiktirafan ini. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada semua pihak yang terus menyokong usaha memperkasakan kecemerlangan akademik dan perpaduan sosial.

Nota: Aktiviti ini menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dari aspek SDG4 dan SDG17.