Sepintas Lalu

KURSI SHEIKH OTHMAN SARAWAK

Ruang Pejabat Urus Setia Kursi Sheikh Othman Sarawak

Kursi Sheikh Othman Sarawak merupakan satu prakarsa yang diusahakan penubuhannya secara bersama oleh UKM dan Majlis Islam Sarawak (MIS). Gerak kerjanya bermula sejurus kejayaan dalam penganjuran bersama Nadwah Ulama Nusantara (NUN VIII) antara UKM dan MIS di Kuching pada tanggal 23 hingga 25 Oktober 2018. Paling menarik, resolusi NUN VIII telah menggagaskan betapa perlunya satu kursi kesarjanaan Islam ditubuhkan di IPT bagi menangani isu-isu berkaitan tamadun, kemajuan dan pembangunan masyarakat Islam khususnya untuk negeri Sarawak. Kursi kesarjanaan Islam itu dinamakan sebagai Kursi Sheikh Othman Sarawak sempena nama tokoh ulama ulung yang berasal dari Bumi Kenyalang. Idea penubuhan sebuah Kursi Kesarjanaan Islam di IPT akhir dibacakan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Haji Misnu Haji Taha sebagai salah satu daripada resolusi NUN VIII 2018 pada Majlis Penangguhan Rasmi NUN VIII pada hari Khamis tanggal 25 Oktober 2018 bersamaan 16 Safar 1440H di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.Kursi Sheikh Othman Sarawak yang ditempatkan di Fakulti Pengajian Islam, UKM ini akan menjalankan aktiviti penyelidikan fokus tentang PEMERKASAAN SOSIO-EKONOMI MASYARAKAT ISLAM SARAWAK. Usaha ini dilihat sejajar dengan Rancangan MalaysiaKe-12 dan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022. Objektif penyelidikan yang digagaskan dalam penubuhan kursi ini adalah:

[i] Memperkasa penglibatan masyarakat Islam Sarawak dalam bidang ekonomi secara komprehensif di bandar dan luar bandar sesuai dengan trend semasa perkembangan ekonomi digital dan perluasan penggunaan Internet Untuk Segalanya (IoT). 

[ii] Menyediakan cadangan untuk masyarakat Islam Sarawak mempertingkatkan penglibatan dalam bidang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti industri halal, ekopelancongan dan platform modal teroka menerusi penggunaan kemudahan infrastruktur IoT secara optimum. 

[iii] Mengenal pasti ruang-ruang yang boleh diterokai oleh masyarakat Islam Sarawak dalam bidang pertanian moden. 

[iv] Memperkasa aspek tamadun dan pembangunan ummah iaitu wakaf, baitulmal, agama, dan masyarakat madani sebagai teras kekuatan dan potensi kepada ekonomi masyarakat Islam Sarawak. 

[v] Menjana dan memangkin pemerkasaan generasi Pemikir Islam Sarawak bagi kelestarian masyarakat Islam Sarawak. 

Bagi mencapai objektif tersebut, fokus penyelidikan kursi ini dijangka akan menumpukan kepada empat kluster iaitu ekonomi digital, pertanian moden, perusahaan kecil dan sederhana serta tamadun dan pembangunan ummah. Bagi menjayakan penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak di Fakulti Pengajian Islam, beberapa fasiliti dibangunakan bagi menggambarkan kewujudan dan kelangsungan aktiviti penyelidikan tentang pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam Sarawak iaitu: 

[i] Ruang pejabat urus setia Kursi Sheikh Othman Sarawak di Aras 1, Fakulti Pengajian Islam UKM yang menempatkan pejabat Pengurus kursi dan pejabat Pegawai Penyelidik Sosial. 

[ii] Membangunkan galeri 1 Sheikh Othman Sarawak di Aras 1, Ruang Legar Bestari Fakulti Pengajian Islam yang menempatkan sudut ruang pameran penerbitan berbentuk buku, tesis dan penyelidikan terkini tentang Kursi Sheikh Othman Sarawak. 

[iii] Membangunkan galeri 2 Sheikh Othman Sarawak di Aras 1, laluan Kedekanan Fakulti Pengajian Islam dengan menempatkan ruang pameran poster tentang perkembangan Islam di negeri Sarawak dan juga akan mempamerkan aktiviti-aktiviti terkini tentang Kursi Sheikh Othman Sarawak.

[iv] Menamakan sebuah dewan utama di Fakulti Pengajian Islam dengan nama Dewan Sheikh Othman Sarawak.