Kementerian Pengajian Tinggi telah melancarkan kerangka program akademik pendidikan tinggi baharu yang dikenali sebagai Experiential Learning and Competency-Based Education Landscape atau EXCEL pada 15 Oktober 2021. Ia merupakan satu kerangka transformasi program akademik yang mengintegrasikan elemen industri, komuniti, penyelidikan dan fleksibiliti (personalised) dalam menghasilkan graduan yang mempunyai atribut dan kemahiran yang diperoleh dari pembelajaran berasaskan pengalaman dan pendidikan berasaskan kompetensi.
Inisiatif EXCEL merupakan pemacu transformasi program akademik bagi menghasilkan graduan yang mempunyai daya tahan dan keupayaan untuk menghadapi serta menerima perubahan (Resilient and Change-Ready Talent). Graduan yang melalui program berasaskan EXCEL akan memperoleh kemahiran holistik sebagai pengamal pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learners), usahawan inovatif (innovative entrepreneurs), pengamal kreatif (creative practitioners) dan pengaruh perubahan (change-makers).
Kementerian Pengajian Tinggi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 atau PPPM (PT) 2015 – 2025 telah menekankan untuk mengimbangi antara ilmu dan ahklak. Aspirasi pelajar dalam pelan ini adalah supaya pelajar mempunyai enam (6) atribut iaitu:
i. Etika dan kerohanian
ii. Kemahiran kepimpinan;
iii. Jati diri kebangsaan;
iv. Penguasaan bahasa;
v. Kemahiran berfikir; dan
vi. Ilmu pengetahuan.
EXCEL dibangunkan bagi menyokong aspirasi ini serta mengurangkan jurang kesepadanan kemahiran yang selalu dibangkitkan oleh industri terutamanya. Kerangka EXCEL memfokuskan kepada kaedah pembelajaran pendidikan berasaskan pengalaman dan kompetensi yang diterapkan dalam empat (4) teras EXCEL iaitu:
i. Industry Driven Experiential Learning (IDEAL);
ii. Community Resilience Experiential Learning (CARE);
iii. Research Infused Experiential Learning (REAL);dan
iv. Personalised Experiential Learning (POISE).
Kerangka akademik bagi setiap teras tersebut diterjemahkan melalui Playbook EXCEL yang telah diterbitkan. Ia akan dapat memandu arah baharu bagi IPT dalam mereka bentuk semula program akademik bagi menghasilkan graduan yang Resilient and Change Ready Talent.