Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2025 – PERMATA Remaja telah melaksanakan program PERMATA Remaja 4 Community di Rumah Kebajikan dan Anak Yatim Darul Najjah di bawah kelolaan tenaga pengajar kelas kecantikan. Program ini telah dilaksanakan di rumah kebajikan yang terletak di Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Program komuniti ini telah melibatkan seramai sembilan orang peserta PERMATA Remaja dari Pusat Komuniti PERMATA Remaja (PKPR) PPR Pantai Ria, 13 orang peserta PERMATA Remaja dari PKPR PA Desa Rejang dan tiga orang tenaga pengajar kelas kemahiran kecantikan PERMATA Remaja. Program ini juga telah berjaya menyantuni seramai 22 orang anak yatim yang menetap di rumah tersebut.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang program adalah sesi refleksologi, rawatan kuku dan rawatan muka bersama-sama penghuni rumah Darul Najjah. Selain itu, sumbangan berbentuk goodies bag, sejadah, makanan ringan dan duit raya turut disampaikan kepada anak-anak di rumah ini. Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai dan solat Margrib berjemaah. Objektif utama program ini dilaksanakan adalah ingin menerapkan nilai tanggungjawab sosial kepada masyarakat dalam diri peserta di samping memberi peluang kepada peserta kelas kecantikan untuk mempraktikkan apa yang dipelajari di dalam kelas dengan cara melaksanakan perkhidmatan kecantikan kepada pelanggan.

PERMATA Remaja mengucapkan jutaan terima kasih kepada Puan Siti Hawa Adnan, selaku Pengerusi Rumah Kebajikan dan Anak Yatim Darul Najjah di atas kesudian menerima kunjungan PERMATA Remaja ke rumah ini. Jutaan terima kasih turut diberikan kepada para penyumbang dan penaja dalam menjayakan program ini dan jutaan tahniah diucapkan kepada barisan tenaga pengajar dan para peserta kelas kecantikan yang terlibat sepanjang program ini. Kita jumpa lagi!