Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

PANTAI DALAM, 9 Oktober 2025 - Program English Fun Time telah dianjurkan oleh Program PERMATA Remaja dengan rakan kolaborasi daripada Major of English Literature, Faculty of Cultural Sciences, Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia. Program ini telah diadakan pada 9 Oktober 2025 bertempat di Kelas Tabika Perpaduan Seri Pantai, Pantai Dalam. Aktiviti dijalankan dari 9.30 pagi hingga 11.00 pagi dan telah disertai seramai 22 orang kanak-kanak berumur di antara 4 hingga 6 tahun.

Objektif utama program ini adalah untuk memupuk minat serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan aktiviti yang interaktif dan menyeronokkan. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan bagi membantu kanak-kanak berkomunikasi dengan lebih yakin dan selesa. Selain itu, mereka turut didedahkan kepada penggunaan perbendaharaan kata, ejaan dan tatabahasa yang betul bagi memperkukuhkan kemahiran membaca, mendengar, menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Antara aktiviti yang dijalankan dalam program ini termasuklah aktiviti mengira dan mewarna buah-buahan, yang membantu kanak-kanak mengenal bentuk serta nama buah dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, sesi menyanyi sambil menari dengan lagu-lagu kanak-kanak turut diadakan bagi meningkatkan tumpuan dan minat peserta terhadap pembelajaran bahasa. Kanak-kanak juga berpeluang mengenali kosa kata, ejaan serta pengenalan kepada buah-buahan tempatan di Malaysia melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan mesra kanak-kanak. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada rakan kolaborasi daripada Major of English Literature, Faculty of Cultural Sciences, Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program ini. Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Tabika Perpaduan PPR Sri Pantai serta para guru yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang penganjuran program. Sokongan mereka amat bermakna dalam memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti.

Secara keseluruhannya, program English Fun Time ini telah memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak. Bagi kanak-kanak, program ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan, sekali gus meningkatkan keyakinan diri mereka dalam menggunakan Bahasa Inggeris. Bagi pihak rakan kolaborasi pula, program ini memberi peluang berharga untuk memperkaya pengalaman pengajaran silang budaya serta memperkukuh kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak.