Pusat Pemerkasaan Remaja

Selamat Datang ke Laman Web Perkasa

Berita

Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

PERMATA REMAJA 4 COMMUNITY BERSAMA ANAK-ANAK PASTI AL-AZFAR,KEDAH

SETAPAK JAYA, 31 Oktober 2025 - Satu program lawatan yang penuh bermakna dan meriah telah berlangsung di Pusat Komuniti PERMATA Remaja, PA Desa Rejang. Program PERMATA Remaja 4 Community ini melibatkan PASTI Al-Azfar dari Kampung Sungai Pau, Sik, Kedah yang mengadakan lawatan sambil belajar ke pusat komuniti di bawah kendalian Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), UKM untuk menimba ilmu dan pengalaman luar bilik darjah melalui aktiviti-aktiviti yang menarik. Program ini disertai lebih kurang 52 orang peserta termasuk ibu bapa dan juga guru pengiring dari PASTI Al-Azfar. Aktiviti telah dijalankan dari 9:00 pagi sehingga 12:00 tengah hari. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah sesi mendekorasi kek cawan atau cupcake yang merupakan sebahagian daripada kelas kemahiran di PERMATA Remaja dalam kelas kek dan pastri. Aktiviti ini mendapat sambutan hangat daripada anak-anak tadika yang berkesempatan mempelajari asas pembuatan dan penghiasan cupcake dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman. Wajah ceria kanak-kanak PASTI Al-Azfar dapat dilihat ketika mereka sibuk menghias cupcake mereka sendiri dengan pelbagai taburan warna dan hiasan yang menarik. Setiap peserta berjaya menghasilkan cupcake yang cantik dan unik mengikut kreativiti masing-masing. Melalui kelas kemahiran ini, kanak-kanak bukan sahaja belajar kemahiran menghias , malah turut dilatih untuk mengembangkan bakat seni yang ada dalam diri.

Selain itu, program ini turut mengadakan sesi membuat button badge yang juga merupakan salah satu kelas kemahiran dalam program PERMATA Remaja. Mereka telah menggunakan alat khas untuk membuat button badge, para peserta dibimbing langkah demi langkah dalam proses pembuatan button badge mereka sendiri. Mereka kelihatan teruja dan penuh minat ketika mempelajari cara menggunakan mesin tersebut dengan selamat. Setiap kanak-kanak bebas memilih reka bentuk dan warna mengikut citarasa dan kreativiti mereka sendiri. Akhirnya, mereka pulang dengan penuh bangga membawa button badge hasil tangan sendiri sebagai tanda kenang-kenangan yang berharga dari program ini. Kemahiran membuat button badge ini turut membuka peluang kepada mereka untuk meneroka bidang kraftangan dan usahawan kreatif.

Program sebegini amat wajar diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan kerana ia memberi kesan positif terhadap pembangunan sahsiah, kemahiran dan potensi keusahawanan kanak-kanak dalam komuniti.