Pusat Pemerkasaan Remaja

Selamat Datang ke Laman Web Perkasa

Berita

Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

PROGRAM SUNATHON @ KG. MUHIBBAH

KUALA LUMPUR, 21 Disember 2025 – Bersempena cuti sekolah akhir tahun 2025, satu program komuniti iaitu Program Sunathon @ Kg. Muhibbah telah berjaya dilaksanakan bersama penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg. Muhibbah, Kuala Lumpur. Program ini merupakan kolaborasi beberapa agensi antaranya PERMATA Remaja, Pusat CITRA UKM, UKM Bikers, Pusat Kesihatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM serta pihak Surau Nur Asy-Syakirin PPR Kg Muhibbah. Pendaftaran program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini melibatkan seramai 40 orang kanak- kanak berusia antara lima tahun hingga 12 tahun yang merupakan komuniti di PPR Kg Muhibbah. Program dimulakan dengan perarakan peserta diiringi paluan kompang dan dituruti dengan siraman air bomba daripada Jabatan Bomba & Penyelamat Balai Bukit Jalil kepada peserta-peserta yang terlibat.

Seterusnya, program diteruskan dengan majlis perasmian dan ucapan daripada YBhg.Tuan Hj Mat Nayan Ramli, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Pengerusi Penasihat GIATMARA Parlimen Seputeh dan juga penyerahan duit sumbangan kepada peserta-peserta yang terlibat. Selain itu, sumbangan daripada PERMATA Remaja yang berupa goodie bag dan kain pelikat turut diberikan kepada peserta yang terlibat sebelum program berlangsung. Terdapat juga beberapa reruai yang telah dibuka semasa program antaranya reruai pemeriksaan kesihatan bersama Pusat Kesihatan UKM, pameran daripada Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) dan juga reruai PERMATA Remaja. Kehadiran kanak-kanak dan komuniti setempat turut menambah kemeriahan apabila Wayang Pacak ditayangkan semasa program.

PERMATA Remaja mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Sunathon @ Kg. Muhibbah 2025. Semoga dengan penganjuran program ini dapat membina sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu khususnya komuniti di PPR Kg Muhibbah dan sekitarnya.