Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

PUTRAJAYA, 26 FEBRUARI 2026 – PERMATA Remaja bersama Bahagian PERMATA KPM telah menganjurkan satu pameran terbuka sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia yang berlangsung di perkarangan Auditorium Kompleks E, Presint 1 Putrajaya. Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan ini telah bermula dengan sesi doa dan Tazkirah Ramadan daripada Al-Fadhil Ustaz Salehudin, Pegawai Bahagian Pendidikan Agama Islam, KPM kemudian telah disempurnakan dengan penyampaian amanat daripada YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia. Setelah selesai majlis, YB Fadhlina Sidek bersama dif-dif kehormat yang lain telah turun ke perkarangan auditorium dan melawat semua reruai daripada Bahagian PERMATA yang terdiri daripada PERMATA Remaja, PERMATA Pintar, PERMATA Insan, PERMATA Kurnia, PERMATA Seni dan PERMATA Negara.

Majlis yang berlangsung selama setengah hari ini turut dilawati oleh kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia yang hadir ke dalam majlis. Antara aktiviti yang berlangsung dalam pameran ini ialah sesi penerangan program PERMATA Remaja, jualan biskut raya TEENTouch dan Photobooth oleh Kelas Fotografi PERMATA Remaja. Semasa di reruai PERMATA Remaja, YBrs. Dr Nasrudin Subhi, Ketua Pusat Pemerkasaan Remaja, UKM telah menyampaikan cenderahati berupa mini hamper TEENTouch kepada YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dan turut bergambar di ruang photobooth bersama barisan VIP yang lain.

PERMATA Remaja mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pameran ini. Semoga dengan penganjuran pameran ini dapat meningkatkan keterlihatan program lantas menaikkan lagi jenama PERMATA Remaja di peringkat kebangsaan.