Berita
Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.
MEGA OUTDOOR FOTOGRAFI PROGRAM PERMATA REMAJA 2026

PULAU PINANG, 6 September - Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah geran penyelidikan PP-2026-011 yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zaizul Ab Rahman telah menganjurkan Mega Outdoor Fotografi Program PERMATA Remaja: Dari Lensa Mata kepada Lensa Jiwa Psikospiritual Remaja selama empat hari tiga malam iaitu 3 hingga 6 September 2026 di Pulau Pinang. Program yang melibatkan 50 orang peserta PERMATA Remaja, tiga tenaga pengajar serta urus setia dan penyelidik ini mengetengahkan fotografi bukan sekadar sebagai kemahiran menghasilkan imej, malah sebagai medium pendidikan yang membantu remaja memerhati dengan lebih sedar, mengenal emosi, membina cerita, menghargai manusia dan alam serta mengenal potensi diri.

Sepanjang program, peserta berpeluang menyertai beberapa Photo Walk di lokasi menarik sekitar Pulau Pinang termasuk Pulau Aman, Street Art Balik Pulau, Kek Lok Si Temple, Bukit Bendera dan sekitar Georgetown. Melalui aktiviti lapangan ini, peserta didedahkan kepada aspek komposisi, pencahayaan, fokus, sudut, penceritaan visual dan penyuntingan asas, di samping menerapkan adab visual seperti mendapatkan izin, menghormati privasi dan menjaga maruah subjek. Keistimewaan program ini terletak pada penerapan Model Lensa Jiwa 7L, yang menghubungkan pengalaman fotografi dengan pembangunan psikospiritual dan kemahiran insaniah remaja. Peserta bukan sahaja mengambil gambar, tetapi turut merekodkan pemerhatian, emosi, nilai, pengalaman, pembelajaran dan aspirasi melalui Jurnal Lensa Jiwa.

Pada hari terakhir, peserta membentangkan hasil fotografi masing-masing dan menerima maklum balas daripada tenaga pengajar. Aktiviti ini menjadi ruang untuk peserta meningkatkan keyakinan berkomunikasi, kreativiti, disiplin dan kemahiran bekerja dalam kumpulan.














