Berita
Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.
PROGRAM MOBILITI DAN PENGANTARABANGSAAN PERMATA REMAJA KE KOREA SELATAN

Seoul, 17 Oktober - Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) telah menganjurkan Program Mobiliti dan Pengantarabangsaan ke Korea Selatan dengan membawa 14 orang remaja Program Perumahan Rakyat (PPR) yang terdiri daripada peserta kelas kek dan pastri Program PERMATA Remaja. Delegasi ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nasrudin Subhi bersama dua felo penyelidik, dua tenaga pengajar dan dua pegawai pengiring. Kemuncak program kali ini memberikan peluang kepada peserta program PERMATA Remaja membuat persembahan kebudayaan bersama remaja Korea sempena acara pembukaan 2026 Seoul Youth Festival yang diadakan di Culture Plaza, Taman Yeouido, Seoul. Persembahan mereka menggabungkan seni silat tradisional Melayu dengan tarian moden, tarian kipas tradisional dan nyanyian. Persembahan ini telah memperkukuh pertukaran budaya untuk tahun kedua berturut-turut dengan kerjasama Seoul Youth Music Centre (SYMC). Peserta juga diberikan reruai dan berpeluang mempamerkan manisan tradisional Malaysia selain mengedarkan kuih madeleine yang dihasilkan sendiri semasa kelas K-baking kepada remaja Korea dan pengunjung yang hadir.

Festival yang diberi nama Youth Energy ON! Fill Seoul with Our Colours! ini dianjurkan oleh Seoul Youth Activity Promotion Center dan Seoul Association of Youth Facilities. Festival ini mengetengahkan golongan muda sebagai penghibur utama. Acara persembahan turut merangkumi aktiviti Mind Run bagi membantu golongan muda yang tertekan akibat persaingan, pusingan akhir Seoul Youth Music Festival, serta pelbagai aktiviti sukan dan kebudayaan lain

Peserta PERMATA Remaja telah mengikuti kelas nyanyian dan tarian K-POP secara dalam talian semenjak bulan Julai hingga September 2026. Pada bulan Oktober, mereka berlepas ke Korea selama 11 hari untuk menjalani latihan secara bersemuka serta menyertai pelbagai aktiviti termasuk kelas pembuatan kek pastri K-baking di Cheongwang-Dong Youth Centre, latihan tarian dan nyanyian secara intensif di SYMC, dan merasai pengalaman budaya secara mendalam di Andong menerusi peluang menginap di perkampungan budaya Andong Imcheonggak sekaligus berpeluang menelusuri sejarah, warisan dan budaya masyarakat traditional Korea. Terdahulu di Andong, para remaja turut diberi peluang melakukan persembahan kebudayaan di pentas 2026 World Heritage Festival anjuran UNESCO.






















