Pusat Pemerkasaan Remaja

Selamat Datang ke Laman Web Perkasa

Berita

Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

LAWATAN RASA KELAS KEK & PASTRI

CYBERJAYA, 23 Disember - Lawatan Rasa Kelas Kek & Pastri program PERMATA Remaja merupakan satu program yang dilaksanakan di bawah kajian Geran Penyelidikan SK-2025-047 bertajuk Kajian Keberkesanan Program Integrasi Gaya dan Rasa dalam Kelas Kecantikan dan Kek & Pastri untuk Program PERMATA Remaja. Lawatan ini dianjurkan sebagai salah satu komponen silibus pembelajaran dengan tujuan memperluas pengetahuan peserta mengenai industri kek dan pastri, selain memberi pendedahan menyeluruh berkaitan dunia kulinari dan keusahawanan makanan. Melalui lawatan ini, peserta berpeluang memahami proses pengeluaran makanan secara praktikal serta menghubungkan teori kulinari, pemasaran dan keusahawanan dengan pelaksanaan sebenar dalam industri.

Selain itu, program ini turut memberi inspirasi kepada peserta melalui perkongsian kisah kejayaan usahawan tempatan, antaranya Azack Pizza, dalam membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka. Peserta juga didedahkan kepada piawaian serta keperluan industri Halal melalui lawatan ke Beryl’s Chocolate Shop & Museum serta Farm Fresh UPM, Serdang, sekali gus memperkukuh kefahaman tentang aspek keselamatan, kualiti dan pematuhan standard makanan.

Program lawatan ini telah dilaksanakan mengikut dua sesi melibatkan peserta daripada Pusat Komuniti PERMATA Remaja PPR Seri Pantai pada 22 Disember dan PA Desa Rejang pada 23 Disember dengan jumlah keseluruhan hampir 80 orang. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif pembelajaran yang dirancang serta memberi pengalaman bermakna kepada peserta dalam memahami realiti industri kek dan pastri. Diharapkan lawatan seumpama ini dapat diteruskan sebagai medium pembelajaran berimpak tinggi dan pemangkin kepada minat serta kecenderungan peserta dalam bidang kulinari dan keusahawanan makanan.