Pusat Pemerkasaan Remaja

Selamat Datang ke Laman Web Perkasa

Berita

Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

MAJLIS MENANDATANGANI SURAT KOMITMEN ANTARA UKM DAN FUTURENURI, INC.

BANGI, 16 Jun 2025 – Satu acara penuh bermakna telah berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena Majlis Menandatangani Surat Komitmen antara UKM dan Futurenuri, Inc., sebuah syarikat korporat digital dari Korea Selatan yang diiktiraf kepakarannya dalam bidang ICT. Majlis ini menyaksikan jalinan kerjasama rasmi bagi pembangunan platform pembelajaran digital untuk Program PERMATA Remaja. Majlis yang berlangsung di Bilik Gerakan HEPA, PUSANIKA telah dimulakan dengan ucapan oleh Dr. Nasrudin Subhi, Ketua Pusat Pemerkasaan Remaja (Centre for Youth Empowerment), dan dihadiri tetamu kehormat termasuk Profesor Dr. Kadaruddin Aiyub, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, serta Mr. Choo Jeong-Ho, Ketua Pegawai Eksekutif Futurenuri, Inc. Turut hadir ialah Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Komuniti, serta delegasi dari Futurenuri, Inc. dan felo penyelidik PERKASA UKM.

Dalam ucapan beliau, Dr. Nasrudin menyatakan kegembiraannya atas termeterainya komitmen ini yang tertangguh sebelum ini disebabkan oleh beberapa kekangan. Beliau menekankan bahawa kerjasama ini merupakan satu tonggak penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang pendidikan digital, khususnya dalam mendukung golongan belia berisiko melalui pendekatan pembangunan positif. Projek ini telah dianugerahkan kepada PERKASA, UKM oleh Asia Pacific Telecommunity untuk tempoh 18 bulan, dibiayai melalui Sumbangan Bajet Tambahan daripada Kerajaan Republik Korea sebanyak USD 60,000.00. Ia juga merupakan geran antarabangsa pertama yang diterima oleh PERKASA, satu pencapaian yang membanggakan buat UKM. “Melalui komitmen ini, kita akan membina satu mekanisme pelaksanaan projek yang efektif, demi manfaat belia berumur 13 hingga 19 tahun untuk hidup dengan lebih bermakna serta merealisasikan potensi sebenar mereka,” ujar beliau.

Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub turut menyatakan harapannya dalam ucapan beliau, "Surat komitmen ini mencerminkan persefahaman bersama, khususnya dalam aspek komitmen di antara dua buah institusi dari dua negara yang berbeza." Sementara itu, Mr. Choo Jeong-Ho berkata, "Projek EBC-K bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan digital di seluruh rantau Asia Pasifik, memperkasakan golongan belia, dan membina persekitaran pembelajaran yang mampan. Di FutureNuri, kami komited untuk menyumbang ke arah merealisasikan visi ini dengan penuh keikhlasan dan dedikasi, berbekalkan pengalaman luas kami dalam pembangunan teknologi pendidikan (Edutech) dan sistem perpustakaan digital di Korea."

Sehubungan itu, kerjasama ini diharapkan dapat membuka ruang kepada lebih banyak peluang kolaborasi global serta menjadi landasan kepada perkongsian ilmu yang lestari dan inovasi berimpak tinggi dalam pembangunan belia. Pihak PERKASA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis dan inisiatif ini — khususnya barisan pentadbir UKM, rakan industri dari Korea, para penyelidik, serta seluruh warga kerja PERKASA.