Pusat Pemerkasaan Remaja

Selamat Datang ke Laman Web Perkasa

Berita

Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

PROGRAM KOLABORASI BERSAMA SMK PADANG TEMBAK,KL

KUALA LUMPUR, 4 November – Seramai 250 pelajar Tingkatan 2 dan 3 menyertai Program Kolaborasi antara Pusat Pemerkasaan Remaja dan SMK Padang Tembak hari ini. Program ini bertujuan untuk menarik minat pelajar dalam bidang kemahiran seperti solekan, fotografi, muzik vokal dan pastri yang ditawarkan di bawah program PERMATA Remaja. Pelajar turut didedahkan dengan peluang membina disiplin, keyakinan diri dan pengetahuan praktikal melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

Antara aktiviti utama termasuk sesi ice breaking bagi memupuk semangat dan keterlibatan aktif pelajar sepanjang program berlangsung. Selain itu, program ini dijangka memberi impak positif dalam membuka minat pelajar terhadap kemahiran sebagai pilihan kerjaya masa depan. Para pelajar turut berkongsi minat mereka terhadap beberapa aktiviti, namun ada yang menyatakan rasa malu dan kurang keyakinan untuk mengasah serta menonjolkan kemahiran tersebut. Program ini menjadi platform yang sesuai untuk mereka keluar dari zon selesa dan membina keyakinan diri dalam meneroka potensi terpendam.

Pihak kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SMK Padang Tembak, Kuala Lumpur atas jemputan dan layanan mesra sepanjang pelaksanaan Program Kolaborasi Sekolah ini. Kesudian pihak sekolah membuka ruang kolaborasi ini amat kami hargai, dan diharapkan program ini dapat memberi manfaat serta inspirasi kepada para pelajar dalam meneroka potensi diri dan kemahiran masa depan.