Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM

 Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

Program Pengayaan

Bagi menampung keperluan pembelajaran murid pintar cerdas di Malaysia, Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM (PPPN UKM) telah merangka satu program pengayaan dan pecutan yang dapat mencabar minda murid pintar berbakat. Program pengayaan dan pecutan ini dikenali sebagai Program Pengayaan Cuti Sekolah (PPCS) PERMATA@Pintar – UKM kerana dijalankan semasa cuti akhir tahun persekolahan.

Asas kepada pembinaan PPCS ini ialah Falsafah Pendidikan Negara yang menekan kepada perkembangan holistik murid dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial pelajar. Program yang dijalankan dalam tempoh 2 minggu ini dikendalikan oleh pengajar, pembantu pengajar dan pembantu pelajar yang dilatih khusus oleh pengajar UKM yang telah mendapat latihan di Johns Hopkins Center for Talented Youth (CTY), Amerika Syarikat.

Sepanjang perkhemahan, murid didedahkan dengan aktiviti akademik, aktiviti kokurikulum berbentuk kesenian dan sukan, program-program kerohanian mengikut agama masing-masing dan lawatan sambil belajar. Murid yang terpilih berumur antara 9 hingga 12 tahun dari pelbagai bangsa dan latar sosio-budaya, dan telah melalui Ujian Saringan UKM1 dan UKM2. 

Murid akan mengikuti salah satu daripada 40 kursus yang ditawarkan. Perkhemahan ini mengambil pendekatan yang melibatkan program pengayaan dan pecutan bagi menyediakan murid pintar cerdas, peluang untuk mengembangkan kebolehan mereka untuk melakukan pembelajaran sepanjang hayat (PSH).