Program Jalinan Siswa-Komuniti: β€œMeh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya!”, 18 November 2019

Program Jalinan Siswa-Komuniti: β€œMeh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya!” anjuran Institut Kajian Etnik (KITA) dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor (PPBNKLS) dengan kerjasama Pusat Citra Universiti (CITRA), telah berlangsung pada 18 November 2019 (Isnin) di PUSANIKA, UKM Bangi. Program ini merupakan hasil daripada perbincangan antara KITA dan PPBNKLS yang sebulat suara bersetuju bahawa keunikan warisan budaya dan komuniti Peranakan yang merentas garis etnik perlu diketengahkan kepada masyarakat umum. Hal ini memandangkan dalam negara yang semakin bergerak ke hadapan ke arah negara maju, Malaysia dilihat masih terikat dengan cabaran-cabaran dalam institusi pendidikan, agama, tempat tinggal dan pengagihan kemakmuran yang timbul rentetan daripada isu etnisiti dan hubungan etnik dalam masyarakat hari ini. Malah, kecenderungan untuk melihat dan mentafsirkan cabaran-cabaran tersebut melalui lensa etnik dan ras dikatakan kian menebal dalam masyarakat kontemporari hasil daripada mainan politik dan media. Belia merupakan salah satu golongan yang dilihat terdedah dan mudah terpengaruh dengan retorik pendekatan konflik yang membeza-bezakan satu kumpulan etnik dengan yang lain menerusi lensa etnik (ethnic lens) yang menekankan aspek perbezaan antara β€˜kita’ dengan β€˜mereka’ dan bukannya kepada aspek-aspek sepunya. Keadaan ini dilihat membimbangkan sehinggakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini telah mengingatkan rakyat terutamanya golongan belia supaya menjiwai prinsip Rukun Negara yang penting dalam pembinaan jati diri kebangsaan.

Format program ini merupakan usulan oleh PPBNKLS yang telah menganjurkan program yang sama di dua buah IPTS pada tahun 2017 dan 2018. Namun tahun ini, PPBNKLS berhasrat untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar IPTA yang mempunyai latar belakang dan komposisi pelajar yang berbeza daripada IPTS. Bagi tujuan pelaksanaan program di IPTA buat pertama kali, PPBNKLS telah memilih Universiti Kebangsaan Malaysia yang dilihat sebagai platform yang paling sesuai untuk mengetengahkan tema berkenaan dalam konteks wadah warisan dalam kerukunan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia memandangkan kedudukannya sebagai sebuah universiti kebangsaan. Hasil daripada satu siri perjumpaan rasmi dan tidak rasmi dengan beberapa orang pemegang taruh juga, pihak Pusat Citra Universiti (CITRA) telah dijemput sebagai penganjur bersama untuk memastikan penglibatan mahasiswa UKM yang luas dan berkesan dalam program tersebut, khasnya melalui kursus LMCW2713 Hubungan Etnik yang merupakan kursus wajib universiti di peringkat program pengajian prasiswazah. Hasil daripada perbincangan, persetujuan dan dorongan daripada pihak pengurusan kedua-dua KITA dan CITRA, cadangan usulan PPBNKLS telah dijenamakan semula sebagai Program Jalinan Siswa-Komuniti: β€œMeh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya!”.

Pemilihan fokus kepada komuniti Baba Nyonya ini bertitik tolak daripada latar belakang pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang sering dianggap bermula daripada warisan Alam Melayu khasnya daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sebenarnya, kepelbagaian warisan yang dinikmati hari ini telah wujud jauh lebih awal hasil daripada kurniaan alam dan kedudukan strategik Alam Melayu dalam laluan maritim Timur-Barat melalui Selat Melaka. Antara warisan yang muncul daripada kepelbagaian dan interaksi antara etnik masa lalu dan masih wujud hingga kini adalah komuniti-komuniti Peranakan seperti Baba dan Nyonya di Melaka. Kesepaduan dan semangat komunal yang merentas garis etnik terjelma melalui budaya komuniti Baba dan Nyonya yang terbentuk daripada penerapan unsur-unsur budaya tempatan ke dalam acuan budaya Cina yang diwarisi secara patrilineal. Ini dapat dilihat dalam pelbagai amalan kebudayaan komuniti berkenaan seperti pakaian, makanan, kesenian, agama dan bahasa.

Walaupun lebih terkenal berbanding dengan komuniti-komuniti Peranakan lain, komuniti Baba dan Nyonya Melaka juga tidak kebal daripada perubahan zaman dan masa. Ahli komuniti Baba dan Nyonya yang pada satu masa dahulu penempatannya tertumpu di Melaka dengan amalan budayanya yang jelas distingtif, kini tersebar luas akibat migrasi ke luar yang berlaku atas pelbagai sebab. Keadaan ini menjadikan institusi kekeluargaan komuniti Baba dan Nyonya berubah daripada bentuk keluarga luas yang mempunyai hubungan kerap dan akrab, kepada keluarga nukleus yang wujud secara terpisah dan terasing. Kesannya, kebanyakan aktiviti-aktiviti kebudayaan Baba dan Nyonya yang lazimnya melibatkan masa, sumber dan tenaga yang banyak, kini semakin diringkaskan dan kurang diamalkan. Masyarakat hari ini terutamanya di kalangan generasi muda sama ada dari dalam atau luar komuniti Baba dan Nyonya Melaka, tidak lagi terdedah kepada amalan dan pengetahuan tentang budaya Peranakan secara mendalam, menjadikannya satu warisan yang kurang difahami dan asing daripada kehidupan seharian. Hal ini menjadi lebih ketara dalam keadaan masyarakat Malaysia hari ini yang fahaman dan pengalaman hidup dibentuk dan dipengaruhi oleh lensa etnik (ethnic lens) yang menekankan kepada aspek perbezaan antara β€˜kita’ dengan β€˜mereka’, dan bukannya kepada aspek-aspek sepunya.

Wacana ini merupakan sebahagian proses pengajaran dan pembelajaran kepada para pelajar prasiswazah dan siswazah di UKM khususnya pelajar-pelajar prasiswazah yang mengambil kursus wajib universiti LMCW2713 Hubungan Etnik (set terpilih) Semester 1 Sesi 2019/2020 dan pelajar-pelajar siswazah KITA untuk pendedahan yang lebih luas tentang komuniti etnik minoriti dan isu-isu semasa yang melibatkan kepelbagaian etnik dengan memberi fokus kepada kerukunan masyarakat Malaysia khasnya dalam konteks warisan sepunya masyarakat tempatan. Selain daripada ilmu yang diperoleh di bilik kuliah, pelajar juga dilatih untuk melibatkan diri dalam advokasi awam supaya budaya penyebaran ilmu dapat diperluaskan. Ini secara tidak langsung dapat menghasilkan pelajar yang berfikiran terbuka, kreatif, produktif dan inovatif selaras dengan misi dan visi Institut Kajian Etnik. Sehubungan itu, diharapkan agar program wacana ini dapat direalisasikan dan para pelajar yang terlibat dalam wacana ini akan memperoleh informasi yang berguna berkenaan kepelbagaian etnisiti di Malaysia.

Program ini melibatkan penyertaan 325 orang pelajar prasiswazah yang mengambil kursus LMCW2713 Hubungan Etnik Semester 1 Sesi Akademik 2019/2020 daripada empat set terpilih iaitu Set 1, 3, 7 dan 15. Pelajar-pelajar berkenaan dibahagikan kepada 32 kumpulan di mana satu kumpulan terdiri daripada kira-kira 10 orang pelajar. Daripada segi perjalanannya, program ini telah dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama melibatkan satu Sesi Perkongsian Mentor-Mentee bersama PPBNKLS telah diadakan pada 12 Oktober 2019 (Sabtu) di Dewan Besar Kolej Keris Mas. Pada sesi tersebut, para peserta berkenalan dengan kira-kira dua belas orang ahli-ahli PPBNKLS yang bertindak sebagai Mentor untuk membantu memperkenalkan komuniti Baba dan Nyonya kepada para peserta dan seterusnya membimbing mereka dalam membuat kajian mini ke atas komuniti berdasarkan topik-topik yang telah ditentukan oleh Pensyarah. Para Mentor juga bertindak menyemak maklumat-maklumat mengenai komuniti tersebut yang akan dibentangkan oleh pelajar. Selepas daripada aktiviti tersebut berakhir, para pelajar terus berhubung dan berbincang dengan Mentor masing-masing melalui pelbagai cara termasuk komunikasi bertulis (emel / Whatsapp) dan pertemuan.

Bahagian kedua program ini ialah hari Program Jalinan Siswa-Komuniti: β€œMeh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya!” itu sendiri di mana hasil kajian peserta dibentangkan dalam bentuk pameran atau persembahan dan akan dinilai mengikut keperluan kursus LMCW2713 keempat-empat set berkenaan. Bahagian ini telah dijalankan pada 18 November 2019 di Ruang Legar Aras 6, Pusanika dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari. Selain daripada 28 buah pameran di bawah tujuh tema utama iaitu sejarah, bahasa, makanan, budaya tradisi, pakaian, hiburan dan ikon Peranakan, aktiviti-aktiviti program separuh hari ini dibahagikan kepada tiga segmen. Segmen pertama dimulakan dengan ucapan alu-aluan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin selaku Pengarah Pengasas KITA merangkap wakil Naib Canselor untuk menyampaikan ucapan perasmian. Walau bagaimanapun kehadiran Prof. Ulung telah diwakili oleh Felo Utama KITA Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong di saat akhir kerana masalah kesihatan. Segmen kedua merupakan Forum Wacana Warisan Peranakan: Baba dan Nyonya. Forum berkenaan melibatkan perkongsian empat orang ahli PPBNKLS yang masing-masing berasal daripada keluarga Peranakan dan berjaya dalam karier mereka. Ahli panel pertama iaitu En. Cedric Tan Chai Cheng yang merupakan Pengerusi PPBNKLS, telah membentangkan perkongsian mengenai makanan komuniti Baba Nyonya. Ahli panel kedua, En. Lee Yuen Thien pula merupakan Pengurus Muzium Baba dan Nyonya. Beliau menyampaikan perkongsian mengenai gaya hidup Baba dan Nyonya. Ini diikuti dengan perkongsian mengenai muzik dan hiburan komuniti Baba Nyonya oleh Pn. Rachel Ong Shu Ying dari Sunway University. Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Dr. Tong Woei Yenn yang merupakan ahli panel keempat pula telah menyampaikan perkongsian berkenaan pakaian mengikut amalan komuniti Baba Nyonya. Penyelidik Bersekutu KITA Prof. Dr. Ong Puay Liu telah bertindak selaku Moderator dalam forum ini. Segmen seterusnya merupakan sesi pembentangan empat kumpulan pelajar yang mempersembahkan sketsa perpaduan, pertunjukan fesyen dahulu dan sekarang, joget lambak, dondang sayang dan berbalas pantun. Program tersebut telah diakhiri dengan ucapan perasmian penutup oleh Pengarah CITRA Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Hj. Siraj.

Di sebalik tabir pula, proses persediaan dan pengoperasian program separuh hari ini telah diurus dan dijalankan oleh pelajar-pelajar siswazah program sarjana dan doktor falsafah di KITA yang bertindak sebagai ahli Jawatankuasa Program Jalinan Siswa-Komuniti β€œMeh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya!” sebagai satu cara untuk mendedahkan mereka kepada selok-belok urus-tadbir penganjuran program akademik melalui pengalaman secara langsung dengan dipantau dan dibantu oleh kakitangan KITA. Untuk itu, program separuh hari ini telah didaftarkan sebagai aktiviti pelajar KITA melalui sistem iStar. Selain daripada warga KITA, PPBNKLS dan CITRA, program ini telah melibatkan kerjasama dan sumbangan daripada pihak-pihak lain dari dalam dan luar UKM sama ada dalam bentuk pembiayaan dana, ruang, peralatan atau perkhidmatan iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Sun Hoon Keong Temple (Petaling Jaya), Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), Pusat Pengurusan Pusanika (PUSANIKA-UKM), Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (PRASARANA), Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Unit Keselamatan dan Kolej Keris Mas.

Secara keseluruhannya, program ini telah berlangsung dengan jayanya dengan dihadiri kira-kira 350 orang kakitangan dan pelajar UKM daripada pelbagai fakulti termasuklah dari fakulti sains. Dengan itu, diharapkan program ini berjaya meninggalkan pengalaman dan kesan positif tentang keunikan komuniti Baba Nyonya yang menyumbang kepada warna-warni kepelbagaian etnik di negara ini ke arah pembinaan perpaduan nasional yang lebih utuh di masa akan datang. Ia juga diharap mampu menyerlah dan memartabatkan potensi UKM sebagai pusat penyelidikan kajian Peranakan (Peranakan studies) di negara ini.

Laporan oleh:
Dr. Pue Giok Hun
Pengerusi Program Jalinan Siswa-Komuniti β€œMeh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya!”
6 Disember 2019

Gambar-gambar sekitar program boleh dilihat di laman Facebook KITA (klik di sini untuk pautan).