Penggunaan Komputer Secara Ergonomik

Kebanyakan individu yang bekerja menghabiskan hampir 50% masanya di tempat kerja iaitu di dalam persekitaran kerja yang mempengaruhi pemikiran, emosi dan tindakan. Oleh itu, rekabentuk dan persekitaran ruang kerja haruslah memenuhi tahap keselamatan, memelihara tahap kesihatan dan menigkatkan tahap kepuasan dan keselesaan individu. Di sinilah prinsip ergonomik memainkan peranan dalam memberikan kesejahteraan dalam persekitaran kerja. Perkataan ergonomik berasal daripada perkataan Greek iaitu ergos (kerja) dan nomos (undang-undang semulajadi), bermaksud rekaan mesin atau produk yang disesuaikan dengan fizikal manusia.Ini termasuklah penggunaan kerusi, meja komputer, tetikus dan papan kekunci yang menyebabkan tekanan kepada tubuh badan manusia.

ergonomik1
Gambar di atas menunjukkan penggunakan komputer secara lalai dan tidak ergonomik.

 

Mengapa perlu ergonomik?

Tahukah anda,menurut  kajian bahagian kesihatan dan keselamatan alam sekitar Universiti Alabama di Huntsville, Amerika Syarikat. Sebanyak 275,000 kes pekerja mendapat musculoskeletal disorders (MDs) iaitu kesan gangguan ke atas otot, sendi, tendon dan ligamen. Kajian pihak mereka juga mendapati 13 peratus kecederaan di tempat kerja datangnya daripada Carpal Tunnel Syndrome (CTS) iaitu sindrom sakit di bahagian pengelangan tangan.

Itu merupakan satu daripada kesan tidak baik apabila tidak mengaplikasikan prinsip ergonomik dalam melakukan kerja. Kesan daripada faktor fizikal seperti ini boleh membawa kepada kesan lain kepada organisasi seperti ketidakpuasan pekerja dan seterusnya pengurangan kecekapan dan produktiviti.

Dengan mengaplikasikan prinsip ergonomik, keletihan dan stress dapat dikurangkan. Kakitangan bukan sahaja boleh menyempurnakan tugas, tapi dapat mempercepatkan perlaksanaan tugas dan meminimumkan stress di tempat kerja.

 

Antara peralatan pejabat yang bersifat ergonomik

 ergonomik2 ergonomik3 ergonomik4 ergonomik5

         

                   

 

Mengenalpasti risiko ergonomik kepada fizikal

Risiko ergonomik di bawah merujuk kesakitan fizikal yang mungkin diakibatkan penggunaan komputer secara berpanjangan.

1. Tekanan ke atas anggota badan secara berulang yang melibatkan pergerakan anggota badan yang sama. Ia biasanya melibatkan otot, tendon dan sendi. Kesakitan ini juga kenali sebagai Repetitive Stress Injuries (RSI),  Occupational Overuse Syndrome (OOS), Cumulative Trauma Disorder(CTD) dan Repetitive Motion Syndrome (RMS)

Biasanya pengguna tidak menyedarinya sehingga merasa tanda-tanda awal seperti lenguh, kebas dan kelesuan atau sakit otot. Ini berpunca daripada masa kerja yang panjang, kadar kerja dan masa rehat yang pendek.

TIPS : Anda dinasihatkan agar melakukan senaman regangan untuk mendapatkan pengaliran darah yang baik pada seluruh anggota dan mengelakkan daripada mendapat kelesuan otot, lenguh atau sakit pada anggota badan tertentu.

 

2. Kesakitan abdomen seperti pinggang.

Kedudukan badan tidak neutral ketika melakukan kerja akan memberi tekanan kepada struktur otot rangka seperti tendon, ligamen, saluran saraf dan salur darah.

TIPS : Anda perlu menggunakan kerusi yang sesuai dan boleh diubah ketinggian dan kecondongan bagi memberikan keselesaan.

 

3. Tekanan terhadap sentuhan.

Tekanan wujud apabila permukaan tisu lembut seperti tapak tangan, bahagian dalam lengan, pergelangan tangan dan jari yang bersentuhan dengan permukaan tajam atau keras seperti bahagian tepi meja dan papan kekunci.

TIPS : Bagi mengurangkan masalah berkenaan penggunaan pelapik gel untuk pergelangan tangan dapat membantu mengurangkan tekanan yang diterima pada permukaan tisu lembut.

Kedudukan yang statik juga menjadi faktor risiko kepada individu. Statik bermaksud pergerakan yang minimum pada bahagian tertentu ketika bekerja.

Ada antara individu yang mengekalkan sesuatu kedudukan atau posisi dalam keadaan agak lama dan mengakibatkan pergerakan minimum pada otot dan sendi.

TIPS : Anda  yang sering menggunakan komputer dinasihatkan agar kerap bergerak dan melakukan senaman regangan ringkas setiap 40 minit secara berkala.

 

4. Tekanan Mata

Fokus yang terlalu lama pada sesuatu imej akan menyebabkan mata menjadi letih atau tertekan. Ketegangan mata yang melampau boleh mengakibatkan sakit kepala, pandangan kabur dan simptom visual lain yang disebabkan melihat skrin komputer dalam tempoh yang lama.

TIPS : Anda digalakkan mengelipkan mata bagi menggalakkan kelembapan pada permukaannya dan juga rehat setiap 30 minit bagi memulihkan tumpuan terhadap sesuatu objek.

 

Langkah-langkah menggunakan komputer secara ergonomik

 

Pengabaian cara penggunaan komputer yang betul memberi kesan negatif kepada kesihatan dan kehidupan seseorang. Oleh yang demikian, bagi mencegah dan mengelakkan sebarang kesan buruk kepada kesihatan anda, berikut adalah antara langkah-langkah dan tips dalam penggunakan komputer.

 

ergonomik6
Rajah 1

Berdasarkan Rajah 1:

1. Duduk secara tepat berhadapan kedudukan monitor. Ubah ketinggian monitor komputer pada aras yang sesuai, pastikan bahagian atas monitor berada pada aras yang sama dengan mata bagi memastikan anda tidak tunduk atau mendongak ketika melihat skrin.

2. Bahu dalam keadaan rata dan bahagian belakang  ditegakkan dan disokong sepenuhnya.

3. Siku diletakkan dengan selesa di atas lengan kerusi pada sudut 90 darjah.

4. Pergelangan tangan diletakkan rata dan posisi tegak.

5. Lutut dibengkokkan pada sudut 90 darjah.

6. Kedua-dua kaki rata di atas lantai.

 

Selain itu, antara perkara lain yang perlu diambil berat;

  • Tetapkan suhu persekitaran sekitar 22 – 25C dan kelembapan pada 40-70 peratus.
  • Ubah suai arah dan sudut skrin bagi mengelakkan silau serta gunakan tirai untuk mengawal cahaya.
  • Rehatkan mata dengan melihat objek-objek segar seperti pokok, rumput, daun dan ikan.
  • Anda disarankan mengambil tempoh rehat selama lima minit setiap satu jam bekerja dan masa santai di kerusi selama satu hingga dua minit setiap setengah jam bekerja atau bila yang dirasakan sesuai.
  • Ketika masa rehat anda dinasihatkan bangun dan berjalan kerana pergerakan dapat mengurangkan tekanan pada minda serta membantu pengaliran darah.
  • Semasa santai pula, pekerja dinasihatkan melakukan senaman regangan ringkas bagi membantu pengaliran darah dan mencegah kelesuan otot.

 

Hakikatnya persekitaran kerja yang ergonomik  bukan terletak  sepenuhnya pada peralatan dan perabot khas yang canggih, tetapi yang paling penting adalah usaha kita untuk menggunakan asas ergonomik ini untuk merancang kerja dan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif .

Kesejahteraan motivasi anda sebagai pekerja organisasi  dapat dicapai menerusi peningkatan kepuasan kerja, semangat kerja, pengurangan tahap tekanan dan emosi.

 

Disediakan oleh : Armin Razita PTM

(Visited 24,632 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *