KESAN TSUNAMI (sambungan)
Indonesia
Tragedi ombak besar tsunami yang berpunca dari gempa bumi di utara Sumatera dan disifatkan paling dasyat di dunia dalam tempoh 40 tahun ini telah mengorbankan lebih 120 000 orang di Acheh dan merupakan wilayah yang paling dasyat terjejas akibat tsunami berbanding rantau lain Asia. Dilaporkan beribu-ribu mayat terus dibiarkan bergelimpangan di tepi pelabuhan bercampur dengan serpihan kayu dan sampah sarap di Acheh dan keadaan itu menyayat hati. Mayat-mayat telah mula bengkak dan berbau, sekaligus mengundang malapetaka baru iaitu penyakit berjangkit. Kelambatan bancian kematian terjadi di Acheh kerana bencana itu telah memusnahkan semua infrastruktur di pantai barat wilayah itu, komunikasi terputus dan kawasan-kawasan itu hanya boleh dihubungi melalui udara dan laut. Lebih teruk lagi apabila fungsi pentadbiran pihak kerajaan tempatan lumpuh berikutan banyak bangunan kerajaan yang lenyap dan ramai petugas terkorban dalam malapetaka yang dasyat itu. Selain itu, mayat-mayatyang bergelimpangan dibiarkan kerana masalah pengangkutan dan bekalan bahan bakar yang mencukupi. Paling membimbangkan pakar-pakar kesihatan seluruh dunia ialah bahaya wabak penyakit seperti malaria dan denggi yang berpunca daripada keadaan di luar kawalan itu. Memburukkan lagi keadaan. apabila bekalan makanan dan ubat-ubatan juga dilaporkan berkurangan di kebanyakan kawasan yang terjejas teruk akibat bencana alam itu. Anggaran korban dibuat berdasarkan tinjauan udara yang menunjukkan kemusnahan besar di banyak lagi kawasan bencana yang tidak dapat dimasuki bagi kerja mencari dan menyelamat manakala sejumlah pulau lagi tidak wujud lagi pemantauan dari udara oleh pihak berkuasa Indonesia mendapati tiada `tanda-tanda kehidupan' di beberapa penempatan seperti Kota Meulaboh, Pulau Simeulue dan Tapaktuan, manakala beberapa pulau di sekitar barat Sumatera sudah lenyap. Sebahagian dari beberapa pulau di Utara Sumatera yang dilanda oleh ombak besar tsunami dijangka kekal tenggelam kerana hakisan ombak dan pulau terbabit terletak dalam sempadan pergerakan bumi tersebut. Kota Melauboh terletak 140kilometer sahaja dari pusat gempa di dasar laut utara Sumatera. Kehancuran infrastruktur dan kehilangan nyawa di bahagian barat Pulau Sumatera yang begitu luar biasa ini hanya diketahui selepas tiga hari berlakunya melapetaka tsunami. Melauboh dihuni oleh 150 000 orang dan apabila dilihat dari udara, hanya memperlihatkan kemusnahan rumah-rumah, kenderaan, pohon-pohon dan mayat yang bergelimpangan di sana sini tanpa sebarang tanda hidupan. Usaha menyelamatkan mangsa di Melauboh, sebuah kawasan terpencil, tidak dapat dilakukan berikutan perhubungan yang terputus sama sekali. Ketiadaan bekalan elektrik, air dan minyak juga menimbulkan masalah untuk menyelamatkan mangsa. Pembedahan tidak dapat dilakukan di hospital-hospital kerana peralatan elektrik tidak boleh digunakan. Kenderaan juga tidak dapat bergerak kerana tiada lagi bekalan minyak, sekaligus menyukar dan melambatkan usaha penyelamat. Mangsa yang terselamat pula menghadapi ancaman penyakit walaupun bantuan perubatan antarabangsa diterima. Selain itu, wabak penyakit yang akan timbul seperti taun, mayat-mayat yang belum diuruskan dan ketiadaan air bersih berikutan punca air sudah tercemar yang boleh mengganggu kesihatan.