Pada 23 November 2024, telah berlangsungnya Majlis A Boutique Festival on Pahang Culture Art & Tourism: Showcasing of Pahang Artists bertempat di KL City Art Gallery. Majlis ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan budaya dan seni Pahang melalui hasil karya serta persembahan seni oleh artis-artis dari negeri Pahang di samping memperluaskan jaringan kerjasama antara pelaku seni dan penggiat industri pelancongan.
Pengurus Besar Tourism Pahang, YBrs. Encik Kamaruddin Ibrahim hadir merasmikan majlis ini mewakili YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang . Selain daripada mempersembah dan mempamerkan hasil karya serta persembahan seni oleh artis-artis dari negeri Pahang, para tetamu juga turut berpeluang merasai beberapa hidangan tradisional asli Pahang seperti ikan patin tempoyak, pais patin, sambal hitam serta puding diraja sebagai pencuci mulut.
ALAF-UKM menerusi pembentangan YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Shazrul Fazry Sa`ariwijaya, Ketua Makmal Pusat Penyelidikan Tasik Chini, diberikan penghormatan untuk membentang dan berkongsi kemudahan serta perkhidmatan penyelidikan yang disediakan di Pusat Penyelidikan Tasik Chini kepada para tetamu yang hadir. Turut hadir sama, Timbalan Pengarah Pembangunan dan Instrumentasi ALAF-UKM, Prof. Dr. Zaidi Che Cob.














