Pada 5 Mac 2025 (Rabu), delegasi ALAF-UKM telah mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membincangkan potensi kolaborasi seni dan budaya dalam penganjuran Teater Muzikal Puteri Gumum, Mitos Rizab Biosfera Tasik Chini UNESCO. Delegasi ALAF-UKM disambut mesra oleh Timbalan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Pn. Huznah Sa’it bersama Perancang Bahasa Bahagian Komunikasi Korporat DBP Pn. Rabi’ahtuladawyah Md Saleh serta Perancang Bahasa DBP Wilayah Tengah, Pn. Musazliza Mustan Shir.
Mewakili ALAF-UKM dalam sesi perbincangan ini ialah Profesor Kehormat ALAF-UKM, Prof. Dato’ Sri Dr. Mushrifah Idris, Ketua Makmal Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Prof. Madya Dr. Mohd Shazrul Fazry Sa’ariwijaya serta Ketua Pentadbiran ALAF-UKM, En. Ahmad Mustaqim Zolkafali. Perbincangan antara pihak ALAF dan DBP membuka ruang kepada usaha bersama dalam mengangkat keunikan kisah Tasik Chini ke pentas teater, selain mengukuhkan pemeliharaan warisan, budaya dan ekologi melalui seni persembahan. Ini selari dengan misi ALAF-UKM dalam memartabatkan ilmu, budaya dan kelestarian alam melalui pendekatan yang kreatif dan inklusif.
Pihak DBP turut menyambut baik cadangan ini dan berkongsi aspirasi dalam memperkasakan kesusasteraan dan warisan negara melalui teater sebagai medium pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat. Semoga sinergi ini membawa impak besar dalam memelihara kisah dan legasi Tasik Chini, selain memperkayakan landskap seni serta budaya negara.














