Telah berlangsung dengan jayanya Program SULAM ASLI – Pimpin Jalinan Mesra Watan @ Chini 2025 pada 13 hingga 15 Jun 2025 bertempat di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), ALAF-UKM. Program ini merupakan anjuran bersama Kumpulan Penyelidikan UKM-TR2024-047 dan Pusat Pengajian Citra Universiti dengan sokongan strategik daripada PPTC, Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) UKM, HRD Corp dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP), bersempena sambutan National Training Week 2025.
Berteraskan pendekatan komuniti dan kelestarian ilmu, program ini menghimpunkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi seperti lawatan ilmiah ke kawasan Tasik Chini, penghayatan warisan budaya Orang Asli menerusi demonstrasi seni tradisional dan sesi perkongsian bersama tokoh tempatan serta penyelidik pelbagai institusi. Aktiviti merintis denai, berkayak dan riadah turut dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan peserta dengan alam sekitar.
Program turut menyantuni pelajar SK Tasik Chini dan komuniti melalui aktiviti sukaneka, kelas robotik, motivasi, solekan, bahasa isyarat serta pemeriksaan kesihatan dan mata percuma yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan kolaborasi termasuk HRD Corp, Roboshop Technologies serta Persatuan Orang Pekak Pahang.
Majlis penutup telah dirasmikan oleh Puan Nurzatul Norizan Zamri, Ketua Cawangan HRD Corp Pahang. Turut hadir memeriahkan program ialah Prof. Madya Dr. Mohd Shazrul Fazry, Ketua Makmal PPTC, serta Dr. Rozita Ibrahim, Felo Bersekutu PPTC merangkap Ketua Program Citra, yang turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program ini.
Program ini mencerminkan peranan universiti sebagai pemacu pemerkasaan komuniti melalui integrasi ilmu, budaya dan khidmat masyarakat selaras dengan aspirasi UKM sebagai universiti watan berteraskan nilai lestari.














