Hutan Simpan Resak di Pekan, Pahang menjadi tumpuan pelbagai institusi penyelidikan tempatan menerusi penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Paya Gambut yang berlangsung selama lima hari dengan penglibatan aktif penyelidik, pakar biodiversiti dan pasukan sokongan lapangan. Program selama lima hari itu dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan sokongan Universiti Kebangsaan Malaysia, Projek Pengurusan Lestari Ekosistem Tanah Gambut di Malaysia (SMPEM) dan Enggang (Pekan) Sdn. Bhd. Turut terlibat ialah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), The Habitat serta sembilan universiti tempatan lain.
Ekspedisi ini diketuai oleh Dr. Shamsul Khamis dari UKM yang juga merupakan Ketua Makmal Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF), ALAF-UKM dengan sokongan Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad yang terkenal dalam bidang biodiversiti dan taksonomi tumbuhan negara. Sepanjang ekspedisi berlangsung, pasukan penyelidik telah menjalankan kajian di enam laluan utama di sekitar Hutan Simpan Resak yang terkenal dengan landskap tanah lembap semula jadi serta kepelbagaian spesies flora dan fauna yang unik.
Ekspedisi kali ini berjaya merekodkan penemuan 64 spesies tumbuhan, 50 spesies ikan, 30 spesies kulat, 41 spesies burung, 61 spesies labah-labah, 56 spesies kupu-kupu serta 35 spesies belalang sepanjang kajian lapangan dijalankan di kawasan Hutan Simpan Resak. Lebih menarik, ekspedisi ini turut menemukan ikan terkecil di dunia selain merekodkan penemuan spesies pokok Samadera indica yang pertama kali ditemui di negeri Pahang, sekali gus memperkukuh nilai saintifik dan kepentingan biodiversiti kawasan hutan paya gambut tersebut.


























