Dalam usaha memperkukuh budaya kualiti serta meningkatkan kompetensi auditor dalaman, ALAF-UKM melalui Makmal i-CRIM telah menganjurkan Kursus Pemahaman dan Pelaksanaan Audit Dalaman MS ISO/IEC 17025:2017 pada 8 hingga 9 Julai 2026 bertempat di Bilik Seminar, Kompleks Penyelidikan, UKM. Kursus selama dua hari ini telah menghimpunkan seramai 27 peserta yang terdiri daripada pegawai, penyelidik dan kakitangan makmal daripada Universiti Kebangsaan Malaysia , Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Â
Dikendalikan oleh Puan Irma Munirah Alias daripada SIRIM Academy Sdn. Bhd., kursus ini memberi pendedahan secara menyeluruh berkaitan keperluan MS ISO/IEC 17025:2017, merangkumi interpretasi standard, prinsip dan teknik pelaksanaan audit dalaman, penyediaan laporan audit, pengurusan ketakakuran (non-conformity), tindakan pembetulan serta perancangan program audit yang sistematik serta berkesan.
Â
Sepanjang kursus berlangsung, peserta turut didedahkan dengan pendekatan praktikal melalui perbincangan kes, simulasi audit dan perkongsian pengalaman bagi meningkatkan kefahaman terhadap pelaksanaan audit dalaman dalam persekitaran makmal sebenar. Pendekatan ini membantu peserta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh secara lebih efektif dalam memastikan pematuhan kepada keperluan sistem pengurusan kualiti.
Â
Penganjuran kursus ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Makmal i-CRIM dalam membudayakan kecemerlangan kualiti serta memperkukuh kompetensi modal insan. Seiring aspirasi ALAF-UKM untuk menjadi peneraju pengurusan makmal yang cemerlang, program pembangunan kompetensi seperti ini akan terus diperkasakan bagi memastikan warga kerja sentiasa bersedia menghadapi keperluan dan cabaran semasa dalam pengurusan makmal.
July 10, 2026





















