Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, ALAF-UKM telah dijemput mengendalikan Bengkel Asas Pengenalan Herbarium yang telah dianjurkan oleh Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) pada 10 hingga 12 Jun 2024 yang lepas. Bengkel ini telah disertai oleh seramai 25 orang kakitangan TBNSA bertujuan untuk memperkenal dan memberikan pendedahan kepada para kakitangan TBNSA yang terlibat mengenai prinsip pengurusan herbarium, teknik penyimpanan spesimen yang tepat dan kaedah dokumentasi spesimen di ruangan bilik kurasi.
Ketua Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, Dr. Shamsul Khamis dan Pengurus Makmal, En. Mohd Afiq Aizat Juhari telah diberi kepercayaan mengendalikan bengkel yang berlangsung selama tiga hari ini dengan memberi pendedahan secara teori serta praktikal kepada para peserta yang terlibat dalam memastikan kaedah pengendalian herbarium di Taman Botani Negara Shah Alam adalah tepat.
Semoga bengkel ini dapat memberi manfaat dan ilmu kepada semua peserta yang terlibat di samping memperluas jaringan kerjasama di antara pihak PPBF, ALAF-UKM dan TBNSA di dalam bidang penyelidikan, pemuliharaan dan pemeliharaan spesies tumbuhan dalam negara.














