Alhamdulillah, semalam telah berlangsungnya lawatan dan kunjungan hormat daripada Sekolah Tinggi Pariwisata Riau, Indonesia bertempat di Bangunan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM. Lawatan ini telah dihadiri oleh seramai 18 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar Jurusan Pengurusan Pelancongan dan 3 orang pengiring iaitu Dr. Ir. Eni Sumiarsih, Ketua Sekolah Tinggi Pariwisata Riau, Puan Ika Fitra Hasibuan, Ketua Lembaga Penelitian dan Pengabdian Pada Masyarakat serta Puan Rahma Putri Andita, Pensyarah Jurusan Pengurusan Pelancongan.
Lawatan ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar yang terlibat berkenaan pengurusan dalam bidang-bidang pendidikan yang ditawarkan di UKM selain memberi peluang perkongsian ilmu di antara kedua belah pihak. ALAF-UKM telah dijemput untuk berkongsi mengenai latar belakang ALAF-UKM dan perkhidmatan yang ditawarkan khususnya melibatkan perkhidmatan pakej pelancongan ilmu dalam mengenalpasti ruang kerjasama di antara ALAF-UKM bersama ST Pariwisata Riau, Indonesia.
Sesi lawatan ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah ATMA, Dr. Junaini Kasdan, Ketua Pentadbiran ALAF-UKM, Encik Ahmad Mustaqim Zolkafali, Ketua Bahagian Penjanaan dan Promosi, Puan Nor Fauziana Abdul Aziz serta beberapa kakitangan ALAF-UKM dan ATMA UKM. ALAF-UKM mengucapkan jutaan terima kasih di atas kunjungan ini dan diharapkan semoga ianya dapat memberi manfaat kepada semua pelajar yang terlibat.














