Alhamdulillah, Forum Makmal Alami ALAF-UKM bertajuk “Menyingkap Rahsia Alam Menerusi Makmal Alami” telah selesai dengan jayanya. Forum berprestij ini telah dikendalikan oleh En. Ahmad Mustaqim Zolkafali, Ketua Pentadbiran ALAF-UKM, yang berjaya membawa perbincangan dengan penuh menarik dan dinamik. Lebih menarik, forum ini menampilkan barisan panel yang disifatkan sebagai tokoh utama dalam perkembangan Makmal Alami UKM.
Antaranya, Prof. Dato’ Seri Dr. Mushrifah Hj. Idris, Profesor Kehormat UKM dan Lantikan GIG Akademik ALAF-UKM, yang berkongsi pengalaman luasnya dalam penyelidikan alam semula jadi di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC). Bersama beliau ialah Prof. Dr. Zaidi Che Cob, Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Strategi) ALAF-UKM, yang membentangkan strategi masa depan dalam pembangunan Makmal Alami, khususnya di Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) di samping Dr. Shamsul Khamis, Ketua Makmal Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, dan Dr. Juliana Senawi, Ketua Makmal Pusat Penyelidikan Langkawi, yang berkongsi potensi luar biasa kedua-dua pusat penyelidikan tersebut dalam meneroka dan melestarikan ekosistem di Malaysia.
Forum ini bukan sahaja menjadi medan diskusi intelektual yang memukau, malah turut membuka ruang kepada perkongsian idea-idea inovatif yang penting untuk masa depan penyelidikan ekologi dan alam sekitar negara. Sambutan yang sangat menggalakkan daripada para hadirin telah menjadikan forum ini sebagai satu platform luar biasa untuk memperkukuh usaha-usaha pemuliharaan alam dan pembangunan berasaskan penyelidikan saintifik melalui Makmal Alami, ALAF-UKM.
Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan forum ini. Semoga kerjasama dan komitmen ini terus memberi manfaat besar kepada usaha memelihara alam semula jadi kita yang berharga!














