Pameran ALAF-UKM di reruai UKM pada hari kedua sempena Pameran Perdagangan Selangor Life Sciences Convention (SLC) 2024 terus menarik perhatian dan menerima sambutan yang luar biasa daripada pelbagai lapisan pengunjung. Detik istimewa hari kedua pameran adalah keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan melawat reruai UKM. Lawatan baginda jelas menzahirkan sokongan yang mendalam terhadap usaha UKM dalam memajukan penyelidikan saintifik dan inovasi yang mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat serta negara.
Sepanjang lawatan, baginda diberi penerangan terperinci mengenai perkhidmatan penyelidikan yang ditawarkan oleh ALAF-UKM, termasuk peranan penting Makmal i-CRIM dan Makmal Bioserasi dalam menyokong industri sains dan teknologi. Keberangkatan Raja Muda Selangor ke reruai UKM turut memperkukuhkan peranan institusi akademik seperti UKM dalam menghubungkan penyelidikan saintifik dengan industri dan masyarakat.
Kehadiran baginda memberi pengiktirafan terhadap dedikasi ALAF-UKM dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi yang bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi, tetapi juga memperkukuh pembangunan sosioekonomi negara.














