Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM), Yayasan Canselor UKM, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM serta Fakulti Pendidikan UKM telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Pejabat Daerah Mersing sebagai langkah memperkukuh jaringan strategik serta memperkasa pelaksanaan inisiatif pembangunan berasaskan penyelidikan dan komuniti. Delegasi UKM telah disambut mesra oleh Tuan Haji Jamil Hasni bin Abdullah, Pegawai Daerah Mersing.
Kunjungan kali ini memberi fokus kepada perbincangan perkembangan semasa kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sebelum ini, di samping meneroka potensi pelaksanaan projek-projek baharu yang memberi impak tinggi khususnya dalam bidang penyelidikan, pemerkasaan komuniti dan pembangunan ekonomi setempat.
Dalam sesi yang sama, Prof. Madya Dr. Khairul Jamaludin, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan, Industri & Masyarakat), Fakulti Pendidikan UKM turut membentangkan perkembangan semasa projek “Youth as Ecotourism Ambassadors: Communication Training Program on Mersing Island Heritage” yang memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti belia sebagai duta ekopelancongan yang berperanan dalam mempromosikan warisan dan keunikan pulau-pulau di Mersing secara berkesan dan berimpak.
Hadir dalam kunjungan ini ialah Prof. Madya Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin, Pengarah ALAF-UKM, Prof. Dr. Zaidi Che Cob, Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Strategi) ALAF-UKM, Prof. Madya Dr. Amizawati Mohd Amir, Timbalan Pengarah Yayasan Canselor UKM, Prof. Dr. Norlida Hanim Mohd Salleh, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, serta Dr. Herryawan Ryadi Eziwar Dyari, Ketua Makmal EKOMAR, ALAF-UKM.
May 5, 2026

























